TIGA lelaki etnik Rohingya yang bekerja sebagai buruh binaan dan kebersihan ditahan bagi membantu siasatan kes seksual melibatkan seorang wanita orang kurang upaya (OKU) di Chukai semalam.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Mohd Rosli berkata, ketiga-tiga lelaki berusia antara 19 hingga 28 tahun itu ditahan susulan laporan yang diterima pihaknya daripada seorang wanita berusia 20 tahun kelmarin.
“Ketiga-tiga suspek ditahan reman bermula 8 hingga 12 Ogos ini bagi membantu siasatan. Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti suspek lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Mohd Razi, kes ini disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, polis perlu memperhalusi siasatan dan memberi ruang serta masa secukupnya kepada mangsa yang berusia 23 tahun sebelum siasatan dilengkapkan kerana wanita itu adalah OKU intelektual.
Selain itu, Mohd Razi berkata, pihaknya mengesan penularan video di media sosial TikTok pada kira-kira jam 8.30 malam tadi yang memaparkan orang ramai berkumpul di hadapan Flat Kampung Enjin Gergaji di Chukai susulan kes berkenaan.
Beliau dalam pada itu menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi kerana kes masih dalam siasatan.






