KONFLIK Asia Barat yang melonjakkan harga bahan api dan mengganggu rantaian bekalan bahan api dunia, telah menambah perbelanjaan subsidi bahan api dan mengancam keterjaminan bekalan bahan api Malaysia.
Berikutan itu kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, ia menjadi salah satu daripada tiga alasan utama kerajaan melaksanakan pembaharuan penyasaran subsidi diesel.
Katanya, konflik Asia Barat telah melonjakkan harga minyak mentah dunia melepasi AS$120 setong, dan Malaysia tidak terkecuali daripada tempias krisis ini.
‘’Subsidi petrol dan diesel sekitar RM800 juta pada bulan Januari dan Februari sebulan, telah melonjak kepada hampir RM5 bilion sebulan untuk Mac dan April. Walaupun terdapat petanda positif ke arah persetujuan damai antara Amerika Syarikat dan Iran, harga minyak dunia dijangka kekal tinggi berbanding sebelum konflik bermula,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Hasni Mohammad di Sidang Dewan Rakyat , hari ini.
Amir Hamzah berkata, alasan kedua pembaharuan tersebut ialah jurang harga ketara antara harga diesel bersubsidi di Sabah dan Sarawak dengan harga pasaran meningkatkan aktiviti penyeludupan selain tiris kepada bukan warganegara yang tidak sepatutnya menikmati subsidi.
Manakala alasan ketiga, kata beliau ialah kejayaan BUDI95 yang diterima rakyat membuktikan kaedah pengesahan kelayakan subsidi bahan api melalui MyKad adalah efisien dan berkesan, justeru kerajaan melanjutkan pelaksanaan BUDI MADANI kepada diesel.
Beliau berkata, selain bekalan fiskal yang bertambah, hal lebih penting ialah kelangsungan bekalan bahan api negara.
‘’Walaupun kerajaan bersama Petronas bertungkus-lumus mempelbagaikan sumber bekalan bagi memastikan kelangsungan bekalan bahan api negara, akan tetapi, usaha ini akan sia-sia sekiranya isu ketirisan tidak ditangani dengan tegas.
‘’ Hal ini lebih ketara di Sabah dan Sarawak kerana bukan warganegara turut menikmati harga diesel bersubsidi RM2.15 seliter. Jurang harga yang besar dengan negara jiran mewujudkan ruang penyeludupan yang sukar dibendung walaupun penguatkuasaan telah ditingkatkan’’ katanya.
Sebagai petunjuk jelas, kata beliau jumlah diesel yang terjual di stesen minyak Sabah dan Sarawak pada bulan Mac dan April 2026 telah mencecah 200 juta liter sebulan, ia dianggarkan dua kali ganda lebih tinggi berbanding tahap yang sepatutnya berdasarkan bilangan kenderaan diesel berdaftar.
‘’Penetapan harga runcit pada tahap tanpa subsidi di seluruh negara akan membantu menutup ketirisan ini,’’ katanya.
Beliau menjelaskan, pembaharuan penyasaran subsidi diesel dilaksanakan meliputi, pertamanya melalui harga diesel di pam yang seragam iaitu harga tanpa subsidi di seluruh negara.
‘’Kedua, cara tunggal bagi pengurusan subsidi bahan api iaitu rakyat memanfaat subsidi RON95 dan diesel melalui MyKad sebagai kaedah pengesahan kelayakan; dan ketiga: Harga diesel bersubsidi turun kepada RM2.10 seliter untuk dinikmati rakyat Malaysia yang layak,’’ katanya.
Kata beliau, melalui mekanisme MyKad, subsidi kini hanya untuk rakyat Malaysia, sekali gus menutup ruang ketirisan yang membazirkan bukan sahaja subsidi dari wang rakyat, tetapi bekalan bahan api yang amat kritikal pada waktu krisis,’’ katanya.






