MENTERI Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim berkata, pembentukan kerajaan negeri dibuat secara bersama, justeru semua parti akan diberikan perhatian.
Katanya, ia termasuklah daripada rakan komponen BN yang memenangi pilihan raya itu.
“Kita menubuhkan kerajaan bersama dan pastinya kita mengambil kira Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang mewakili PN dan ADUN yang mewakili Barisan Nasional (BN).
“BN bukan sahaja terdiri daripada UMNO, tetapi juga parti komponen MCA dan MIC. Semua ini akan kita berikan perhatian dalam pembentukan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri,” katanya pada sidang media pertama selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan di Kuala Pilah hari ini.
Ismail yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh berkata, senarai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) akan dibincangkan terlebih dahulu dengan Presiden UMNO sebelum dipersembahkan kepada Yang Diertuan Besar Negeri Sembilan dalam masa terdekat.
Beliau berkata, perkara itu telah dimaklumkan ketika menghadap baginda selepas majlis tersebut.
“Saya telah memaklumkan kepada Tuanku bahawa saya akan berbincang dahulu dengan Presiden UMNO, tengok pandangan beliau, mungkin ada cadangan-cadangan bersesuaian untuk dipertimbangkan.
“Kita akan cuba selesaikan selewat-lewatnya Jumaat. Kalau sempatlah… Insya-Allah. Kalau ikut Tuanku, baginda lagi suka diselesaikan dalam waktu terdekat,” katanya






