MALAYSIA mencatatkan perkembangan positif apabila melonjak tiga anak tangga ke kedudukan ke-53 daripada 143 negara dalam World Justice Project (WJP) Rule of Law Index 2026, berbanding tangga ke-56 pada tahun lalu.
Peningkatan itu direkodkan menerusi skor keseluruhan 0.57 yang kekal stabil, sekali gus menyaksikan Malaysia berada di kedudukan ketujuh daripada 15 negara di rantau Asia Timur dan Pasifik.
Pencapaian berkenaan disifatkan sebagai perkembangan yang memberangsangkan ketika 62 peratus negara yang dinilai di peringkat global mengalami penurunan prestasi kedaulatan undang-undang.
Berdasarkan trend perbandingan dari tahun 2021 hingga 2025, kedudukan Malaysia sebelum ini berlegar antara tangga ke-54 hingga ke-56 sebelum berjaya mencatatkan prestasi terbaiknya dalam tempoh enam tahun bagi edisi 2026.
Laporan penilaian ini disediakan oleh Kumpulan Fokus Perundangan CPI Malaysia yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, berasaskan data Business Today dan laporan World Justice Project Rule of Law Index 2021–2026.
Menerusi penilaian lapan faktor utama WJP, Malaysia merekodkan pencapaian baik dalam komponen keadilan sivil di tangga ke-37, diikuti keadilan jenayah (44), penguatkuasaan peraturan (46) serta ketenteraman dan keselamatan (51).
Selain itu, negara turut mencatatkan kenaikan dalam beberapa aspek utama termasuk hak asasi yang melonjak enam anak tangga, penguatkuasaan peraturan (naik lima anak tangga) dan kawalan terhadap kuasa kerajaan (naik empat anak tangga).
Bagaimanapun, kedudukan bagi aspek keadilan sivil dan ketiadaan rasuah (tangga ke-54) masing-masing mengalami penurunan sebanyak tiga anak tangga berbanding tahun sebelum ini.
Faktor Kerajaan Terbuka (Open Government) kekal menjadi cabaran utama negara apabila berada di kedudukan paling rendah iaitu tangga ke-104 dunia, meskipun meningkat satu anak tangga berbanding tahun 2025.
Kedudukan tersebut mencerminkan ruang besar yang perlu ditambah baik oleh Malaysia merangkumi aspek hak rakyat mendapatkan maklumat, ketelusan undang-undang, penglibatan awam serta kemudahan saluran aduan pentadbiran.
Sehubungan itu, cadangan penggubalan Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat (RUU FOI) dinilai sebagai antara langkah strategik yang berpotensi tinggi untuk melonjakkan prestasi negara dalam aspek keterbukaan pentadbiran.
Peningkatan prestasi dalam indeks antarabangsa ini turut memberi dorongan kukuh kepada agenda reformasi institusi negara secara menyeluruh.
Antara aspek yang memerlukan perhatian berterusan termasuklah memperkasakan akauntabiliti menerusi mekanisme semak imbang seperti penubuhan Ombudsman, selain memantapkan kecekapan akses sistem keadilan untuk rakyat.
Matlamat utama bukan sekadar meningkatkan ranking Malaysia, tetapi memastikan rakyat mendapat manfaat daripada sistem pentadbiran dan keadilan yang lebih baik, menurut laporan berkenaan.





