MAHKAMAH Majistret Alor Gajah hari ini menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan dan denda RM1,400 terhadap seorang lelaki selepas didapati bersalah mencuri wang tabung masjid termasuk kutipan pembelian van jenazah serta beg tangan Jemaah, awal bulan ini.
Majistret Dr Teoh Shu Yee menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Riduan Abdullah, 28, selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah sebaik tiga pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan pertama, penganggur itu didakwa melakukan khianat dengan memecahkan pintu gelangsar bahagian dapur Masjid Al-Najihin, Kampung Padang Sebang dalam daerah Alor Gajah menggunakan sebuah tangga pada jam 5.30 pagi, 7 Jun lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa mencuri wang tabung kutipan pembelian van jenazah di Masjid Al-Qaniteen, Tanjung Rimau daerah yang sama pada jam 5 petang, 7 Jun lalu.
Pertuduhan ketiga, Muhamad Riduan didakwa mencuri sebuah beg tangan milik seorang wanita di ruang solat wanita Masjid Ar-Rasyidin, Kampung Jelatang dalam daerah Alor Gajah pada jam 4.45 petang, 8 Jun lalu sehingga menyebabkan kerugian dianggarkan RM2,200.
Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda.
Terdahulu, peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh merayu hukuman minimum atas alasan anak guamnya tidak mempunyai pekerjaan tetap selain tidak mempunyai keluarga.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal dikenakan mengambil kira kesalahan dilakukan di rumah ibadat.
Dalam penghakimannya, Dr Teoh berkata, mahkamah mengambil kira bahawa kesalahan dilakukan di kawasan masjid yang menjadi tempat orang ramai beribadah, mencari ketenangan dan berasa selamat.
“Sekali gus tindakan orang kena tuduh menghakis kepercayaan masyarakat terhadap rumah ibadat sebagai tempat yang bebas daripada sebarang jenayah,” katanya.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM1,400 atau penjara dua bulan jika gagal membayar denda bagi pertuduhan pertama, manakala bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh dipenjara 10 bulan.
Terdahulu, media melaporkan seorang penuntut universiti berusia 19 tahun kerugian selepas beg mengandungi dokumen dan barangan peribadinya dilarikan seorang lelaki di ruang solat wanita Masjid Ar-Rasyidin, Jelatang, pada 8 Jun lalu.
Kejadian kira-kira jam 4.45 petang itu tular dalam media sosial menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan suspek melarikan beg mangsa.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar dilaporkan berkata, mangsa yang sedang menunaikan solat Asar seorang diri meletakkan beg di hadapan sejadah sebelum didatangi seorang lelaki tidak dikenali yang kemudian melarikan beg berkenaan melalui pintu belakang ruang solat.






