SEORANG penganggur didenda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Klang, hari ini selepas mengaku bersalah menghalang seorang anggota polis menjalankan tugas, Isnin lalu.
Majistret Siti Zubaidah Mahat menjatuhkan hukuman itu terhadap Shahrudin Saad, 45, selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan.
Bapa kepada tujuh anak itu turut diperintahkan menjalani hukuman penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut pertuduhan, Shahrudin didakwa dengan sengaja menghalang seorang penjawat awam, iaitu anggota polis daripada menjalankan fungsi awamnya.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Persiaran Hamzah Alang menghala ke Pekan Meru, kira-kira jam 6.10 petang, Isnin lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, tertuduh cuba melarikan diri dengan memandu secara agresif selepas diarahkan berhenti oleh anggota rondaan.
Ketika dikejar, tertuduh melanggar kereta peronda di bahagian hadapan sebelum berjaya ditahan di Jalan Persiaran Hamzah Alang.
Semasa tangkapan dibuat, tertuduh bertindak agresif sehingga anggota polis terpaksa menggunakan kekerasan minimum.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Salman Al Farisi Nawawi, manakala tertuduh diwakili peguam K Nathiya.
Sebelum ini, media melaporkan polis menahan seorang lelaki tempatan yang memandu secara melulu dan cuba melarikan diri daripada pemeriksaan di Jalan Persiaran Hamzah Alang, Meru, Klang.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Ramsay Embol berkata, suspek ditahan atas kesalahan memandu secara melulu, berbahaya dan cuba melarikan diri daripada pemeriksaan polis peronda (MPV).
“Polis menahan suspek selepas dia cuba melarikan diri sejauh kira-kira tiga hingga empat kilometer menggunakan Toyota Alphard berwarna hitam,” katanya, lapor Harian Metro.




