SEORANG penganggur dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melontarkan ugutan bunuh terhadap dua penumpang wanita bas henti-henti dengan pisau.
Majistret Nurasidah A Rahman menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Hafiz Hilmi Zolkifli, 27, selepas mengambil kira pengakuan dibuatnya mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang masih bujang didakwa menakutkan secara jenayah terhadap dua penumpang wanita berusia 20 dan 26 tahun dalam bas henti-henti di simpang Taman Senggarang di Batu Pahat pada jam 7.20 malam 13 Februari lalu.
Seksyen 506 memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Berdasarkan fakta kes, dua pengadu yang juga mangsa membuat laporan polis selepas mendakwa diugut lelaki tidak dikenali ketika berada dalam bas henti-henti yang dalam perjalanan dari Batu Pahat ke Rengit.
Kejadian berlaku sebaik bas terbabit tiba di simpang Taman Senggarang dengan mangsa tiba-tiba didatangi lelaki tidak dikenali iaitu tertuduh sambil mengugut mahu menikam mereka berdua.
Ketika itu, tertuduh mengeluarkan kata-kata ‘aku tikam kau’ sambil mengacu sebilah pisau terhadap kedua-dua mangsa.
Bimbang keselamatan mereka terancam, kedua-dua mangsa segera membuat laporan di Balai Polis Senggarang.
Bertindak atas maklumat, pada jam 7.25 malam, polis melakukan tangkapan ke atas tertuduh bagi membantu siasatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharifah Natasha Syed Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam Normaahani Rais daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).


