POLIS Selangor mengesahkan dua waran tangkap dikeluarkan terhadap dua individu termasuk pengasas program motivasi rumah tangga, eHati berikutan kegagalan mereka hadir ke mahkamah.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, ketika ini pihaknya masih mengesan kedua-dua individu terbabit.
“Bersabit dengan kes eHati, memang ada dua waran tangkap dikeluarkan terhadap dua individu kerana kegagalan untuk hadir ke mahkamah sewaktu pertuduhan hendak dijalankan.
“Itu saya sahkan. Memang ada waran tangkap untuk individu tersebut termasuk pengasas eHati,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam hari ini, lapor Berita Harian.
Ditanya ke mana dua individu berkenaan melarikan diri, Shazeli berkata, ia tidak dapat dikongsikan kerana polis kini giat mengesan mereka.
Media bulan lalu melaporkan, pasangan suami isteri dihadapkan ke dua Mahkamah Majistret berasingan di Shah Alam, atas pertuduhan melanggar Akta Kaunselor berkaitan penganjuran motivasi rumah tangga, eHati, tahun lalu.
Shazifh Osman, 38, dan Munira Hishamshah, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan masing-masing dibacakan di hadapan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin dan Majistret Cynthia Noor Haizean Sulaiman.
Berdasarkan pertuduhan, suami isteri yang juga doktor klinik kecantikan itu didakwa sudah menjalankan suatu kesalahan di bawah amalan sebagai kaunselor yang berdaftar di Dewan Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Seksyen 15, Shah Alam antara 27 hingga 30 September tahun lalu.
Justeru, mereka melakukan kesalahan di bawah Seksyen 22 (1) (a) Akta Kaunselor 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22 (2) akta sama.



