Kedah turunkan kadar premium tanah 10% hingga 30%

KERAJAAN Kedah menurunkan kadar premium tanah 10% hingga 30% susulan rungutan orang ramai mendakwa kadar terdahulu tinggi dan membebankan.

Menteri Besar, Sanusi Nor, berkata keputusan itu menyusul kajian semula Pentadbiran Tanah Negeri Kedah terhadap kadar yang diwartakan 5 Sept 2024.

Katanya, pindaan itu diwartakan semula 3 April lalu di bawah Kaedah 8 Kaedah-kaedah Tanah Kedah Darul Aman 2018 bagi memastikan kadar lebih munasabah, khasnya untuk golongan berpendapatan rendah.

“Bagi kategori pertanian, pengurangan kadar premium antara 10% hingga 30% bergantung kepada pendapatan isi rumah, manakala kategori bangunan atau kediaman pula penurunan antara 10% hingga 20%,” katanya menurut Berita Harian pada sidang Dewan Undangan Negeri di Wisma Darul Aman, Alor Setar.

Beliau menjawab soalan Mohd Radzi Md Amin (PAS-Pedu) berhubung rayuan rakyat terhadap kadar premium tanah tinggi lot kediaman dan pertanian.

Sanusi berkata, kadar premium bagi pemohon berpendapatan isi rumah RM1,700 ke bawah kekal 10% daripada nilai tanah tahun lalu, RM1,701 hingga RM5,000 ialah 20% berbanding 30%, RM5,001 hingga RM7,000 (25% berbanding 40%), RM7,001 hingga RM10,000 (30% berbanding 50%) dan RM10,000 ke atas (30% berbanding 60%).

Bagi kategori kediaman pula, katanya, kadar premium bagi pendapatan RM5,000 ke bawah ialah 30% berbanding 40%, RM5,001 hingga RM7,000 (35% berbanding 50%), RM7,001 hingga RM10,000 (40% berbanding 60%) dan RM10,000 ke atas (50% berbanding 70%).

Menurutnya, kadar premium bagi kategori perniagaan dan bangunan lain kekal 100% daripada nilaian tanah.

Menjawab soalan tambahan Hayati Othman (PAS-Tokai) berhubung cadangan menukar syarat tanah pertanian kepada kediaman bagi menambah hasil negeri, Sanusi berkata, perubahan status hanya boleh dilakukan dengan permohonan rasmi daripada pemilik tanah.

“Jika pemilik ubah guna tanah tanpa kebenaran, ia dianggap melanggar syarat dan boleh dikenakan tindakan atau kompaun mengikut Kanun Tanah Negara.”

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img