Premis industri pasang Jalur Gemilang terbalik ditutup sementara

SEBUAH premis perindustrian di bawah pentadbiran Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) ditutup sementara selepas didapati memasang Jalur Gemilang secara terbalik sehingga mencetuskan kemarahan orang ramai.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, tindakan itu diambil sehingga pihak syarikat berkenaan tampil memberikan penjelasan serta melengkapkan perakuan Aku Janji.

Katanya, Jalur Gemilang yang dipasang secara terbalik itu turut diperbetulkan serta-merta selepas perkara berkenaan dikenal pasti.

“Pada masa sama, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan, manakala pengarah syarikat berkenaan akan dipanggil dengan kadar segera untuk memberikan penjelasan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum itu, tular gambar menunjukkan Jalur Gemilang dalam keadaan terbalik di hadapan sebuah premis perindustrian sehingga menimbulkan kemarahan orang ramai, lebih-lebih lagi ketika Bulan Kebangsaan.

Dalam pada itu, Mohd Jafni berkata, tindakan yang diambil MPKu mempunyai asas berdasarkan Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian 2019 yang diguna pakai pihak berkuasa tempatan (PBT) di Johor.

Tambahnya, ia termasuk UUK 49(2) berkaitan kuasa menutup premis dan UUK 45(1) berkaitan pengibaran bendera.

Beliau seterusnya menegaskan isu berkaitan pemasangan Jalur Gemilang tidak boleh dipandang ringan, terutama ketika negara sedang menyambut Bulan Kebangsaan.

“Perkara seperti ini tidak boleh dianggap remeh, tidak boleh dinormalisasikan dan tidak boleh dibiarkan berlalu tanpa tindakan.

“Semua pemilik premis, syarikat dan pihak industri di Johor diingatkan supaya memastikan pemasangan Jalur Gemilang dilakukan dengan betul dan penuh rasa tanggungjawab,” ujarnya.

Tegas beliau, alasan kecuaian tidak boleh dijadikan alasan untuk memperlekehkan simbol kedaulatan negara.

“Kerajaan negeri tidak akan berkompromi dalam soal penghormatan terhadap Jalur Gemilang.

“Kita boleh menunggu hasil siasatan bagi menentukan punca dan tanggungjawab pihak terlibat, tetapi prinsip kita jelas. Maruah negara mesti dipelihara dan undang-undang mesti dihormati,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here