SEORANG pekerja kontrak ditemukan lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam tangki penyimpanan air sedalam 10 meter di Kuala Langat Power Plant di Banting malam tadi.
Mangsa, warga tempatan yang dikenali sebagai Mohd Farhan Syazwan, 34, sebelum itu sedang melakukan kerja penyelenggaraan sebelum disedari hilang daripada pandangan oleh rakan sekerjanya.
Penolong Pengarah Operasi Negeri Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Ashbar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.26 malam.
Sebaik sahaja dimaklumkan katanya, sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting bersama Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP KLIA dan BBP Pelabuhan Klang digerakkan bagi operasi mencari dan menyelamat.
“Komander operasi memaklumkan, mangsa bersama rakan sekerjanya ketika itu melakukan kerja penyelenggaraan bagi menggantikan kayu di bahagian menara penyejuk (coolant tower).
“Rakan mangsa kemudian keluar dari lokasi berkenaan untuk mengambil kayu dan kembali kira-kira 15 minit kemudian sebelum mendapati mangsa sudah tiada.
“Pada awalnya, rakan mangsa menyangka dia mungkin pergi ke tandas, namun mula mengesyaki mangsa terjatuh selepas tidak muncul sebelum memaklumkan perkara itu kepada penyelia. Pemeriksaan dilakukan dan mendapati mangsa hilang,” katanya.
Ashrul Riezal berkata, pasukan penyelamat terdahulu mengosongkan kolam pertama dan gagal menemukan mangsa.
Katanya, mangsa kemudian ditemukan kira-kira jam 4 pagi tadi selepas kerja mengosongkan kolam kedua dengan kedalaman 10 meter selesai.
“Anggota turun ke dalam kolam berkenaan dan membawa mangsa naik ke permukaan dan mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada jam 5.05 pagi,” katanya.





