SEORANG pengurus kelab malam dijatuhi hukuman penjara dua hari dan denda RM17,000 oleh Mahkamah Majistret Tawau selepas mengaku bersalah memandu dalam keadaan mabuk dengan kandungan alkohol melebihi had yang dibenarkan, bulan lalu.
Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin menjatuhkan hukuman itu terhadap Tan Tiong Peng, 37, selepas menerima pengakuan bersalah tertuduh selain menimbangkan fakta kes, rayuan pembelaan dan hujahan pihak pendakwaan.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula hari ini serta dipenjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Selain itu, lesen memandu tertuduh digantung selama dua tahun.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati memandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard dengan kandungan alkohol dalam badan sebanyak 82 miligram (mg) bagi setiap 100 mililiter (ml) darah.
Bacaan itu melebihi had maksimum yang dibenarkan iaitu 50 mg bagi setiap 100 ml darah.
Kesalahan itu dilakukan ketika satu Operasi Mabuk dijalankan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di Jalan Bintang Kubota, kira-kira jam 2.40 pagi pada 14 Jun lalu.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan) 2020 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda tidak kurang RM10,000 serta tidak melebihi RM30,000, jika sabit kesalahan.
Peruntukan sama turut memperuntukkan hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama dua tahun.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan hukuman ringan dengan alasan sudah insaf, mengaku bersalah di peringkat awal dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa BSPT IPD Tawau, Asisten Superintendan Joan Lee memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal dengan mengambil kira kepentingan awam serta keseriusan kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol yang sering mengakibatkan kehilangan nyawa.






