TAKTIK warga asing menyebarkan maklumat operasi penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi grup WhatsApp bagi mengelak ditahan gagal apabila 11 kenderaan disita dalam Op Pemandu Warga Asing (PEWA), semalam.
Pengarah JPJ Selangor, Datuk Ahmad Kamarunzaman Menhat, berkata operasi bermula jam 8 pagi di sekitar Jalan Paya Jaras, Persiaran Elmina serta Kubu Gajah, Shah Alam, itu mengesan pelbagai kesalahan.
Menurutnya, kesalahan dikesan termasuk tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL), Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, salah guna LKM serta tiada insurans.
“Penunggang yang ditahan melibatkan seorang etnik Rohingya, empat warga Bangladesh, dua warga Kemboja serta empat warga Indonesia.
“Kita berjaya menahan dan menyita kenderaan warga asing yang cuba melarikan diri daripada penguatkuasaan walaupun berhadapan dengan taktik warga asing yang menyebarkan maklumat operasi menerusi grup WhatsApp,” katanya, lapor Sinar Harian.
Beliau berkata, 11 kenderaan yang disita membabitkan 10 motosikal jenis Modenas Kriss, Yamaha LC135 dan Honda EX5 serta sebuah kereta Proton Waja.
Ahmad Kamarunzaman berkata, siasatan turut mendapati kenderaan berkenaan disewa pada harga murah untuk menjalankan urusan perniagaan.
“JPJ Selangor sentiasa memberi perhatian dan menjalankan pemantauan secara berterusan ke atas semua aduan dan memastikan kenderaan sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang ditetapkan,” katanya.
Katanya, orang awam boleh menyalurkan aduan kesalahan lalu lintas kepada JPJ menerusi e-mel aduantrafik@jpj.gov.my atau platform aplikasi e-Aduan berserta butiran pengadu dan aduan.





