Penunggang motosikal rentung selepas rempuh Hilux di LPT2

SEORANG penunggang motosikal maut dalam keadaan rentung apabila motosikal ditungganginya terbakar selepas merempuh belakang sebuah kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 399.2, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) di Hulu Terengganu tengah hari tadi.

Mangsa, Wan Amir Faiz Jamal Paisal, 20, dari Kampung Hutan Kuin, Machang, Kelantan, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dalam kemalangan yang berlaku kira-kira jam 12.53 tengah hari itu.

KEADAAN motosikal jenis Honda C100 yang terbakar selepas terlibat dalam kemalangan ngeri di Kilometer 399.2 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) arah Bukit Besi-Ajil, Hulu Terengganu tengah hari ini. Penunggang motosikal terbabit rentung

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan motosikal Honda C100 ditunggang mangsa dan sebuah Toyota Hilux yang dipandu wanita berusia 37 tahun.

Menurutnya, Toyota Hilux berkenaan turut membawa seorang penumpang wanita berusia 45 tahun dan ketika itu dalam perjalanan dari Kuantan, Pahang menuju ke Felda Aring, Gua Musang, Kelantan.

“Kenderaan itu dalam perjalanan pulang selepas menghadiri program Event Enjoy Oktober di Kuantan bersama konvoi 10 motosikal.

“Apabila sampai di lokasi kejadian, kenderaan tersebut berhenti di lorong kecemasan kerana salah sebuah motosikal dalam konvoi berkenaan mengalami kerosakan.

“Bagaimanapun, ketika mahu memulakan semula perjalanan, motosikal mangsa yang datang dari arah belakang telah melanggar bahagian belakang kenderaan pacuan empat roda terbabit sebelum terbakar,” katanya ketika dihubungi, lapor Sinar Harian.

Sharudin berkata, rempuhan itu menyebabkan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu dan penumpang Toyota Hilux tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk proses bedah siasat, katanya.

Beliau memberitahu, kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here