SEORANG penunggang motosikal lelaki warga asing maut selepas motosikal ditungganginya dipercayai hilang kawalan sebelum terjatuh dan terperosok ke bawah sebuah lori di Jalan Semenyih, Kajang petang ini.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian berlaku jam 4 petang membabitkan sebuah lori dan motosikal.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati pemandu lori iaitu lelaki warga tempatan berusia 60 tahun dalam perjalanan dari Sungai Lalang ke Batu Pahat, Johor.
“Semasa kejadian, penunggang motosikal lelaki warga asing berusia 44 tahun yang membawa bekalan susu segar dipercayai hilang kawalan sebelum terjatuh di bahu jalan sebelah kiri lori. Motosikal terbabit kemudian masuk ke bahagian bawah lori.
“Akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal yang juga tiada lesen memandu telah maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Beliau berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan.
“Maklumat boleh disalurkan kepada balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, Inspektor Mohd Raziman Rasid di talian 019-456 5502,” katanya.
Terdahulu, tular dalam media sosial video kemalangan maut membabitkan sebuah motosikal dan sebuah lori di Jalan Semenyih.






