Penuntut universiti didakwa curi peralatan pendakian

SEORANG penuntut jurusan kejuruteraan sebuah universiti awam (UA) didakwa di Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini atas tuduhan mencuri pelbagai kelengkapan pendakian dan rekreasi lasak milik sebuah premis, Isnin lalu.

Muhammad Arfan Karim Mohamad, 23, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri daripada sebuah bangunan yang digunakan sebagai tempat menyimpan harta benda milik sebuah syarikat menjual pelbagai peralatan sukan.

Antara barangan yang didakwa dicuri ialah tiga beg galas, sepasang kasut, beg selimut kecemasan, topi keledar pendakian, pelindung hujan beg galas dan tongkat mendaki.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di premis syarikat berkenaan di Jalan Lagenda, Taman Lagenda, di sini, kira-kira jam 4.30 petang, 28 September lalu.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 10 tahun dan denda, manakala bagi kesalahan kedua boleh dipenjara serta didenda atau disebat.

Timbalan Pendakwa Raya S Thiviya memohon tarikh sebutan baharu bagi serahan dokumen dan lantikan peguam selain mencadangkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Muhammad Izzuddin Ab Malek yang mewakili tertuduh memohon jaminan lebih rendah dengan alasan anak guamnya masih menuntut di tahun empat jurusan kejuruteraan di UA dan ditanggung sepenuhnya ibu bapanya.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 18 November depan, lapor Harian Metro.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here