DATUK Seri Anwar Ibrahim mahu skuad Harimau Malaya meneruskan momentum positif selepas membelasah Singapura 6-0 dalam aksi terakhir Kumpulan A Piala ASEAN FIFA 2026, malam tadi.
Menerusi hantaran di Facebook, Perdana Menteri menyifatkan kemenangan besar itu sebagai pencapaian yang membanggakan, biarpun Malaysia gagal melangkah ke final selepas mengakhiri saingan kumpulan di kedudukan kedua.
“Tahniah Harimau Malaya atas kemenangan bergaya 6-0 ke atas Singapura dalam aksi Piala ASEAN FIFA 2026 malam tadi.
“Walaupun terlepas ke final, semangat juang dan kesungguhan Harimau Malaya sepanjang kempen tetap membanggakan seluruh rakyat Malaysia, sekali gus membuktikan pasukan negara mampu bersaing dan memberikan yang terbaik,” katanya dalam hantaran itu.
Skuad negara menguasai aksi yang berlangsung di Stadium Si Jalak Harupat, Bandung menerusi tiga gol jaringan Bergson Da Silva, selain masing-masing satu jaringan Stuart Wilkin, Paulo Josue dan Muhamad Syahir Bashah.
Keputusan itu menyaksikan Malaysia mengumpul tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu seri untuk menamatkan saingan Kumpulan A di tempat kedua.
Indonesia turut mengumpul jumlah mata sama selepas menewaskan Bangladesh 9-2 di Jakarta, namun kelebihan jumlah jaringan memihak kepada pasukan berkenaan untuk menempah tempat ke final.
Dua gol yang dijaringkan Indonesia pada penghujung perlawanan berkenaan turut mengubah kedudukan persaingan kumpulan.
Anwar berkata, kegagalan mara ke final tidak seharusnya mematahkan semangat pemain kerana masih ada satu lagi perlawanan untuk diselesaikan.
“Perjuangan belum selesai. Fokus kini kepada penentuan tempat ketiga dan keempat mungkin menentang Vietnam.
“Kekalkan momentum, berjuang hingga wisel terakhir dan bawa pulang kemenangan untuk Malaysia!” katanya.
Harimau Malaya kini akan memberi tumpuan kepada aksi penentuan tempat ketiga dan keempat bagi melengkapkan kempen Piala ASEAN FIFA 2026.





