PENYAYANG,KPT lancar pertandingan Piala Sukarelawan Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia 2027

USAHA melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah mempunyai keprihatinan terhadap masyarakat terus diperkasakan menerusi penganjuran pertandingan Piala Sukarelawan Menteri Pendidikan Tinggi Malaysia 2027.

Inisiatif anjuran Yayasan Budi Penyayang Malaysia (PENYAYANG) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu menjadi platform untuk membudayakan kesukarelawanan, selain menggalakkan mahasiswa memainkan peranan lebih aktif dalam pembangunan komuniti.

Pertandingan edisi keenam itu dilancarkan di Kajang, semalam oleh Ketua Juri, Puan Sri Prof Emeritus Dr Mizan Adiliah Ibrahim.

Sejak diperkenalkan pada 2014, pertandingan berkenaan menjadi antara pendekatan untuk menyemai nilai kemanusiaan, kepimpinan dan tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa, khususnya ahli 25 Kelab Penyayang di institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara.

Dalam satu kenyataan PENYAYANG dan KPT memaklumkan pertandingan  setiap dua tahun itu turut mencerminkan komitmen mereka dalam menyediakan ruang kepada mahasiswa untuk menterjemahkan keprihatinan sosial kepada tindakan menerusi projek komuniti yang praktikal dan memberi manfaat secara langsung kepada masyarakat.

Menerusi pertandingan itu, kata kenyataan tersebut, mahasiswa bukan sahaja digalakkan melaksanakan aktiviti kebajikan, malah perlu mengenal pasti keperluan komuniti, merancang penyelesaian secara kreatif serta membangunkan projek yang mampu diteruskan dalam jangka panjang.

‘’Pendekatan berkenaan penting bagi membentuk mahasiswa yang mempunyai kemahiran kepimpinan, kebolehan bekerja dalam pasukan dan keupayaan menangani permasalahan masyarakat,’’ kata kenyataan berkenaan.

Menurut kenyataan itu, bagi edisi 2027, pasukan juara akan menerima Piala Pusingan serta geran RM25,000 untuk merealisasikan projek komuniti mereka.

‘’Empat hingga enam pasukan finalis pula akan menerima geran RM5,000 setiap satu bagi melaksanakan projek pada skala lebih kecil,’’ kata kenyataan berkenaan.

Selain itu kata kenyataan berkenaan, aspek kebolehubahsuaian projek turut menjadi antara kriteria penilaian bagi memastikan setiap inisiatif boleh disesuaikan mengikut keperluan komuniti, kemampuan sumber dan skala pelaksanaan.

‘’Melalui platform itu, kesukarelawanan diharap tidak terhad kepada aktiviti bermusim atau penyertaan dalam program kebajikan semata-mata, sebaliknya menjadi budaya yang membentuk mahasiswa sebagai individu prihatin, bertanggungjawab dan mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat,’’ kata kenyataan tersebut.

Penganjuran terdahulu berlangsung pada 2014, 2016, 2018, 2023 dan 2025.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here