Tayar pecah dipercayai punca van terbabas, anggota polis maut

TAYAR belakang sebelah kiri dipercayai pecah secara tiba-tiba menyebabkan sebuah van polis terbabas sebelum merempuh pembahagi lebuh raya di Kilometer 352 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan, hari ini, mengorbankan seorang anggota manakala 10 lagi cedera.

Anggota yang maut dikenal pasti sebagai Lans Koperal Muhammad Shahrul Alif Yaacob, 26, yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata, kemalangan berlaku kira-kira jam 11.35 pagi ketika van jenis Maxus itu dalam perjalanan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak menuju ke Melaka.

Katanya, van berkenaan dipandu seorang anggota dan membawa 10 anggota polis lain.

“Siasatan awal mendapati tayar belakang sebelah kiri van dipercayai pecah secara tiba-tiba sebaik tiba di lokasi kejadian, menyebabkan pemandu hilang kawalan sebelum kenderaan itu merempuh pembahagi besi di tengah lebuh raya.

“Akibatnya, beberapa penumpang tercampak keluar dari kenderaan dan seorang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, empat anggota yang parah dihantar ke Hospital Slim River untuk mendapatkan rawatan, manakala enam lagi yang mengalami kecederaan ringan dirawat di Hospital Tapah.

Mohd Alwi meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian supaya menghubungi IPD Tapah di talian 05-401 1222 atau pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Najmuddin Zulkarnain menerusi talian 017-325 6140.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here