Perginya seorang wanita yang dikagumi dan dihormati

NAMA Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali bukan sekadar dikenali sebagai isteri kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, malah beliau mempunyai perjalanan hidup dan kerjaya tersendiri sebagai antara wanita Melayu terawal menceburi bidang perubatan.

Dilahirkan pada 12 Julai 1926 di Kampung Jawa, Klang, Selangor, Siti Hasmah membesar dalam keluarga yang menitikberatkan pendidikan. Beliau merupakan anak keenam daripada 10 beradik. Bapanya, Mohd Ali, ialah seorang pegawai kerajaan manakala ibunya, Siti Khatijah Ahmad, merupakan seorang suri rumah.

Minat terhadap pendidikan membawa Siti Hasmah melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di King Edward VII College of Medicine di Singapura, ketika institusi itu menjadi antara pusat utama pendidikan perubatan di rantau ini.

Allahyarhamah menamatkan pengajian perubatan pada 1955 dan memulakan kerjaya sebagai doktor dalam perkhidmatan kesihatan kerajaan. Ketika menuntut di Singapura, Siti Hasmah bertemu dengan Mahathir Mohamad yang ketika itu turut mengikuti pengajian perubatan. Setahun selepas menamatkan pengajian, mereka berkahwin pada 4 Ogos 1956.

Namun, kehidupan Siti Hasmah tidak hanya tertumpu kepada peranan sebagai isteri dan ibu. Beliau meneruskan kerjaya dalam bidang perubatan, termasuk berkhidmat di Hospital Besar Kuala Lumpur sebelum berpindah ke Kedah.

Di Kedah, beliau banyak terlibat dalam perkhidmatan kesihatan luar bandar, khususnya berkaitan kesihatan ibu dan kanak-kanak, imunisasi, pendidikan kesihatan serta perancangan keluarga. Pada 1965, beliau mencatat sejarah apabila menjadi wanita pertama dilantik sebagai Pegawai Perubatan di Jabatan Kesihatan Ibu dan Anak di Kedah.

Sembilan tahun kemudian, pada 1974, beliau sekali lagi mencipta sejarah apabila dilantik sebagai Pegawai Kesihatan Ibu dan Anak Negeri Kedah. Penglibatan beliau dalam kesihatan awam memberikan tumpuan kepada masyarakat luar bandar yang pada ketika itu berdepan pelbagai cabaran mendapatkan perkhidmatan kesihatan.

Beliau turut mengikuti latihan dan pengajian berkaitan kesihatan awam di University of Michigan di Amerika Syarikat, yang memperluaskan pengetahuannya dalam bidang tersebut.

Siti Hasmah bersara daripada perkhidmatan kerajaan pada 1979. Selepas itu, beliau meneruskan penglibatan dalam bidang pendidikan apabila menjadi pensyarah sambilan di Fakulti Pergigian Universiti Malaya. Apabila Mahathir dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia keempat pada 1981, Siti Hasmah memasuki satu lagi fasa penting dalam kehidupannya sebagai isteri Perdana Menteri. Bagaimanapun, beliau tidak menjadikan kedudukan itu sekadar tugas rasmi dan protokol.

Sebaliknya, beliau terus memberi perhatian kepada isu kesihatan, kebajikan masyarakat, wanita dan kanak-kanak serta penyalahgunaan dadah. Beliau pernah memegang peranan penting dalam BAKTI, iaitu pertubuhan kebajikan isteri-isteri menteri dan timbalan menteri, selain terlibat dengan pelbagai organisasi berkaitan kesihatan dan kebajikan. Isu penyalahgunaan dadah turut menjadi antara perkara yang diberi perhatian.

Pada 1985, Siti Hasmah menghadiri First Ladies’ Conference on Drug Abuse di Washington, Amerika Syarikat, atas jemputan First Lady Amerika Syarikat ketika itu, Nancy Reagan. Dua tahun kemudian, beliau mewakili Malaysia dalam persidangan antarabangsa mengenai penyalahgunaan dadah dan perdagangan haram dadah di Vienna. Penglibatan beliau dalam isu wanita pula turut membawanya ke pentas antarabangsa.

Pada 1995, Siti Hasmah mengetuai delegasi Malaysia ke Persidangan Dunia Keempat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Wanita di Beijing. Beliau turut aktif dalam pelbagai organisasi berkaitan kesihatan mental, perancangan keluarga, kanak-kanak serta pembangunan wanita.

Dalam bidang pendidikan tinggi, beliau pernah menjadi Canselor Multimedia University dari 1997 hingga 2012. Siti Hasmah juga menerima pelbagai pengiktirafan daripada institusi dalam dan luar negara atas sumbangannya dalam bidang kesihatan, pendidikan dan kemasyarakatan. Antaranya ialah ijazah kehormat daripada Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya serta beberapa institusi luar negara.

Pada 31 Oktober 2003, beliau menerima Seri Setia Mahkota Malaysia (SSM) yang membawa gelaran Tun.

Dalam kehidupan berkeluarga, Siti Hasmah dan Mahathir dikurniakan tujuh orang anak, iaitu Marina, Mirzan, Melinda, Mokhzani, Mukhriz, Maizura dan Mazhar.

Selepas Mahathir kembali menjadi Perdana Menteri pada 2018, Siti Hasmah sekali lagi memikul tanggungjawab sebagai isteri Perdana Menteri sehingga perubahan pentadbiran pada 2020. Di luar tugas rasmi, Siti Hasmah turut mempunyai sisi peribadi yang dekat dengan seni dan muzik.

Beliau mempunyai minat terhadap muzik sejak usia muda dan pernah bermain biola serta piano. Beliau juga mempelajari alat muzik tradisional Cina, erhu.

Pada 2000, beliau menyertai misi mencari fakta kemanusiaan ke Baghdad, Iraq, bagi melihat sendiri kesan sekatan ekonomi terhadap rakyat negara berkenaan. Pengalaman itu kemudiannya menjadi sebahagian daripada kisah yang dirakam dalam buku Speaking of Mass Destruction.

Siti Hasmah turut menulis autobiografi berjudul My Name Is Hasmah, yang diterbitkan pada 2016 sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-90. Buku itu merakam perjalanan hidupnya sejak zaman kanak-kanak, pendidikan, pengalaman sebagai doktor, kehidupan berkeluarga serta peranannya sebagai isteri Perdana Menteri.

Pada 12 Julai 2026, Siti Hasmah mencapai usia 100 tahun, menjadikan perjalanan hidupnya merentasi satu abad sejarah Malaysia. Daripada seorang pelajar perubatan wanita pada era sebelum kemerdekaan, beliau berkembang menjadi doktor, pegawai kesihatan awam, pendidik, tokoh kebajikan dan figura penting dalam kehidupan awam negara.

Apa yang menjadikan perjalanan hidup Siti Hasmah tersendiri ialah kerjayanya sebagai doktor bermula jauh sebelum beliau dikenali sebagai isteri Perdana Menteri. Sumbangan beliau dalam kesihatan ibu dan kanak-kanak, khususnya ketika berkhidmat di Kedah, menjadi antara bahagian penting dalam sejarah perkhidmatan kesihatan awam Malaysia.

Pada masa sama, kedudukannya sebagai isteri Perdana Menteri memberikan ruang lebih luas untuk beliau membawa isu kesihatan, wanita, kanak-kanak, keluarga dan kebajikan ke peringkat nasional serta antarabangsa.

Selepas satu abad kehidupan, nama Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali kekal dikaitkan dengan perjalanan sebuah generasi wanita Malaysia yang membuka ruang lebih luas dalam bidang profesional, khususnya perubatan, pada ketika peluang pendidikan tinggi untuk wanita masih terhad.

Sesungguhnya kembalinya Allhyarhamah ke rahmatullah adalah satu kehilangan besar kepada negara -Semoga roh Allajuarhamah ditempatkan bersama-sama orang beriman.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here