Pertarungan  ‘musuh jadi kawan’, ‘kawan jadi musuh’, ‘kawan lawan kawan’ di N.Sembilan

GELANGGANG Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dibuka secara rasmi hari ini apabila proses penamaan calon selesai dijalankan di lapan pusat penamaan calon di Negeri Sembilan.

Dalam penamaan calon hari ini seramai 103 calon disahkan bertanding di 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

 Mereka akan mewakili Pakatan Harapan (36 calon), Barisan Nasional (25 calon) Perikatan Nasional (11 calon) Bersatu (24 calon) manakala Berjasa, Asli dan PSM masing-masing seorang calon, selain calon  Bebas seramai empat orang.

Apa yang menarik kali ini ialah jika pada PRN 2023, Pakatan Harapan  dan Barisan Nasional (BN) bekerjasama memandangkan kedua-dua parti berada dalam kerajaan pusat namun kali ini biarpun masih bersama di peringkat Persekutuan, kedua-dua gabungan tidak lagi berpakat dalam PRN tersebut.

BN yang bertanding 25 kerusi bergabung bersama dengan Perikatan Nasional (PN) yang disertai oleh Pas, Wawasan, Gerakan dan MIPP akan bertanding di 11 kerusi yang tidak ditandingi oleh BN.

Pada PRN 2023, PH dan BN bergandingan memerintah Negeri Sembilan selepas PH mendapat 11 kerusi dan 14 kerusi. Majoriti mudah untuk membentuk kerajaan ialah 19 kerusi manakala majoriti dua pertiga ialah 24 kerusi.

Tetapi kali ini masing-masing turun dengan misi berbeza. PH yang diketuai oleh Anthony Loke akan berusaha sekurang-kurangnya memperolehi majoriti mudah bagi membolehkan mereka terus mempertahankan kerajaan yang terpaksa dibubarkan selepas BN menarik sokongan terhadap Datuk Seri Aminuddin Harun sebagai Menteri Besar.

Anthony akan berhadapan satu lawan satu dengan Calon BN, Siow Kong Choon daripada BN manakala Aminuddin yang bertanding kali pertama di DUN Linggi dan dianggap poster boy PH akan ditentang dua lagi calon iaitu Datuk Zamri Md Said (Bersatu) dan Datuk Mohd Faizal Ramli (BN).

BN yang dianggap menjadi penyebab PRN tersebut diadakan turun ke gelanggang dengan semangat ‘persefahaman’ selepas mengadakan kerjasama dengan PN.

Tindakan BN memberi laluan kepda PN bertanding di 11 kerusi yang mana tujuh daripadanya kerusi Melayu menunjukkan keyakinan BN untuk memenangi pilihan raya tersebut.

BN masuk ke gelanggang dengan diketuai oleh Datuk Seri Mohamad Hasan yang berhadapan satu lawan satu di DUN Rantau. Menteri Luar Negeri itu yang menguasai kerusi itu sejak enam penggal lalu akan ditentang calon PH, Azizul Hakim Mahdi.

PN pula akan bertanding bagi mempertahankan lima kerusi yang dimenanginya dalam PRN lalu tetapi dalam suasana tiada lagi kerjasama politik antara Pas dan Bersatu.

Pas yang turun dengan panji-panji PN akan mempertahankan tiga kerusi dimenangi iaitu Serting,Paroi dan  Bagan Pinang selain turut bertanding di Ampangan dan Lobak.

Wawasan pula dipertanggungjawab bertanding di kerusi Klawang, Sikamat, Mambau dan Gemas. Di Gemas, Wawasan meletakkan Ridzuan Ahmad yang sebelum ini menangi kerusi itu ketika bersama Bersatu.

Cabaran Wawasan adalah untuk menarik sokongan penyokong-penyokong UMNO. Ia memandangkan terdapat berita mengatakan penyokong tersebut kecewa dengan keputusan pucuk pimpinan parti menyerahkan kerusi-kerusi itu kepada PN.

Bersatu pula mencuba nasib di 24 kerusi dengan DUN Labu menjadi misi untuk dipertahankan. Parti mencalonkan kembali Mohamad Hanifah Abu Baker yang memenangi kerusi tersebut pada 2023.

Sememangnya PRN Negeri Sembilan kali ini paling menarik dan paling sengit kerana ia ibarat pertarungan  ‘musuh menjadi kawan’, ‘kawan menjadi musuh’, ‘kawan lawan kawan’  – menarik…siapa pilihan rakyat?..1 Ogos penentuannya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img