SEORANG pesara kerugian RM237,135 susulan diperdaya individu menyamar sebagai polis dan timbalan pendakwa raya menerusi panggilan telefon.
Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Hafezul Helmi Hamzah berkata, pihaknya menerima laporan daripada lelaki berusia 63 tahun kelmarin selepas mangsa ditipu kononnya terlibat kes penipuan pelaburan.
Katanya, individu menyamar polis dan timbalan pendakwa raya itu mengarahkan mangsa memindahkan semua wangnya dalam satu akaun bagi memudahkan urusan ‘pemeriksaan Bank Negara’.
“Mangsa kemudian diarah meletakkan kad ATM akaun tersebut dalam satu sampul dan diletakkan di bawah tiang papan tanda berhampiran rumah mangsa serta memberikan enam pin kod ATM tersebut.
“Setelah 27 hari, mangsa membuat semakan terhadap akaun tersebut di bank lalu mendapati wang RM237,135.15 telah dikeluarkan tanpa kebenaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hafezul Helmi menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada terhadap panggilan telefon secara rawak dan penyamaran dalam talian melalui sebaran maklumat dari platform media sosial.





