Penceramah motivasi didakwa ganggu seksual wanita muda, ajak jadi ‘sugar baby’

SEORANG penceramah bebas yang juga pakar motivasi didakwa mengambil kesempatan mendekati wanita muda menerusi media sosial sebelum mengajak mereka menjadi ‘sugar baby’ dan melakukan perbuatan tidak senonoh.

Seorang mangsa yang mahu dikenali sebagai Sofia, 19, berkata, perkenalannya dengan lelaki berstatus suami orang itu bermula selepas penceramah terbabit menonton siaran langsung TikTok miliknya sebelum mereka berbalas mesej menerusi WhatsApp.

Menurutnya, lelaki itu pada mulanya mendekatinya atas urusan berkaitan kerja dan pelajaran, namun perbualan kemudian beralih kepada perkara lain termasuk tawaran menjadi ‘sugar baby’.

“Saya sangkakan perbincangan kami terarah kepada nasihat untuk menyambung pelajaran memandangkan dia adalah seorang penceramah motivasi, namun tidak sangka dia tiba-tiba membuka topik mengenai ‘sugar baby’,” katanya ketika dihubungi, lapor Harian Metro.

Sofia berkata, seorang rakannya yang pernah mengikuti ceramah lelaki itu di sekolah turut memaklumkan bahawa penceramah berkenaan mengaku masih bujang dan sedang mencari jodoh.

Katanya, perkara itu terbongkar selepas dia dihubungi isteri lelaki terbabit sebelum mengambil tindakan menyekat nombor telefon berkenaan.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Diana, 27, berkata, pada awalnya dia berurusan dengan lelaki itu bagi tujuan kerjasama dalam program motivasi.

Menurutnya, hubungan atas dasar kerja itu berubah apabila lelaki terbabit mula mengajaknya mendaftar masuk ke hotel dan melakukan hubungan terlarang bertiga.

“Beberapa bulan selepas bekerjasama, dia mula menunjukkan perangai sebenar dan bercerita mengenai pelajar sekolah.

“Dia pernah memberi alasan mahu singgah berehat di tempat kerja saya selepas habis ceramah, namun saya menolak,” katanya.

Diana berkata, selepas mengetahui lelaki terbabit sebenarnya sudah berkahwin susulan pendedahan isterinya pada Jun lalu, dia memutuskan hubungan dengannya.

“Saya terus memutuskan hubungan dengannya dan menyimpan rahsia ini sehinggalah perbuatannya tular,” katanya.

Diana turut mendakwa penceramah terbabit bukan sahaja menyasarkan pelajar sekolah ketika mengendalikan program, malah penuntut universiti.

“Saya mengenali beberapa rakan yang turut menjadi mangsa lelaki itu. Lebih teruk, dia juga pernah menjadikan saya tempat untuk dia bercerita mengenai apa yang dilakukannya bersama mangsa-mangsa lain,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek semalam mengarahkan semua program di sekolah yang membabitkan penceramah bebas berkenaan dihentikan serta-merta susulan pendedahan yang tular di media sosial.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan memandang serius dakwaan berkenaan dan sedang mendapatkan maklumat lanjut kerana ia membabitkan aspek keselamatan serta perlindungan murid.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here