Penunggang motosikal berkuasa tinggi maut terbabas ketika berkonvoi

SEORANG penunggang motosikal berkuasa tinggi maut apabila kenderaanya terlibat kemalangan dengan sebuah treler dan kereta ketika menyertai konvoi, di Kampung Stong, Jalan Gua Musang-Dabong di Kuala Krai petang semalam.

Ketika kejadian jam 1.30 petang itu, mangsa berusia 31 tahun dikatakan sedang berkonvoi bersama rakan-rakannya dari Temerloh menghala ke Betong, Thailand.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kemalangan akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

Menurutnya, kemalangan itu membabitkan tiga kenderaan iaitu sebuah treler yang membawa dua traktor, sebuah kereta dan motosikal ditunggang mangsa.

“Siasatan awal mendapati,  treler itu dalam perjalanan dari Pasir Puteh menghala ke Gua Musang, manakala kereta dipandu seorang lelaki warga Indonesia berusia 35 tahun dari Kedah menghala ke Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mazlan, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikal ketika melalui jalan selekoh sebelum terbabas memasuki laluan bertentangan.

Kata beliau, motosikal mangsa melanggar bahagian kanan hadapan treler menyebabkan mangsa tercampak ke bahu jalan.

“Motosikal berkenaan kemudian terus bergerak memasuki laluan bertentangan sebelum melanggar sebuah kereta yang sedang bergerak,” katanya.

Tambah beliau, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra Kuala Krai untuk proses bedah siasat.

“Pemandu kereta dan treler pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Mazlan memberitahu kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan terperinci masih dijalankan.

Beliau turut menasihatkan semua penunggang motosikal supaya lebih berhati-hati ketika menunggang terutama ketika berkonvoi serta sentiasa mematuhi peraturan jalan raya.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai atau menghubungi talian 09-966 6222,” katanya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img