Pemandu lori Imigresen dibebaskan selepas bayar ikat jamin RM60,000

PEMANDU lori Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang didakwa atas lima pertuduhan dalam kemalangan maut di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur awal pagi semalam, dibebaskan selepas membayar wang jaminan sebanyak RM60,000.

Peguam tertuduh, Izzat Amir Saharudin mengesahkan perkara itu ketika dihubungi media hari ini, lapor NST.

Mohd Akbar Zainol, 43, dibenarkan ikat jamin RM60,000 oleh Majistret Aliaa Anwar hari ini selepas dia mengaku tidak bersalah terhadap kesemua lima pertuduhan yang dihadapinya.

Tertuduh didakwa atas tiga pertuduhan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana didakwa menyebabkan kematian Shaik Mohd Firdaus Shaik Yahya, 53, serta dua anak perempuannya, Siti Norshazlin, 25, dan Siti Darwisyah Auni, 12.

Dia turut didakwa mengikut Seksyen 43(1) akta sama kerana didakwa memandu tanpa kecermatan dan perhatian yang sewajarnya sehingga menyebabkan kecederaan kepada seorang pejalan kaki, Nor Hayati Rozali, 55.

Pertuduhan kelima pula dibuat mengikut Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana didakwa gagal mematuhi isyarat lalu lintas apabila melanggar lampu merah di persimpangan Jalan Sultan Ismail.

Mahkamah menetapkan 27 Oktober depan untuk sebutan semula kes.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi semalam, lori Imigresen berkenaan didakwa memasuki persimpangan Jalan Sultan Ismail ketika lampu isyarat berwarna merah.

Sebuah Proton Saga yang sedang melalui persimpangan itu ketika lampu isyarat berwarna hijau kemudian bertembung dengan lori berkenaan.

Pelanggaran itu menyebabkan lori terbabit terbabas sebelum melanggar empat pejalan kaki serta sebuah kereta Inokom Matrix.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here