PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menziarahi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang sedang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN), semalam.
Anwar menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, keadaan kesihatan Fadillah semakin baik, namun Timbalan Perdana Menteri itu masih memerlukan rehat secukupnya atas nasihat pasukan perubatan.
Sementara itu, Anwar berkata, kunjungannya dan isteri terhadap Perdana Menteri kesembilan itu dilakukan atas dasar persahabatan.
“Atas dasar persahabatan, kami turut menziarahi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga sedang menerima rawatan di IJN dan masih memerlukan pemantauan lanjut.
“Saya dan Azizah mendoakan agar kedua-duanya dikurniakan kesembuhan yang segera, dipermudah segala urusan rawatan serta terus dikurniakan keafiatan dan kekuatan untuk meneruskan khidmat kepada rakyat dan negara, insya-Allah,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan Fadillah akan menjalani pembedahan pintasan jantung di IJN dalam masa terdekat atas nasihat pasukan pakar perubatan.
Pada masa sama, Ismail Sabri dilaporkan selamat menjalani prosedur pemasangan perentak jantung (pacemaker) bagi merawat masalah degupan jantung tidak normal yang dihadapi beliau pada 7 Ogos lalu di IJN.






