Kerajaan gesa pelabur asing bekerjasama dengan syarikat tempatan

PELABUR asing yang dibawa masuk ke Malaysia disaran bekerjasama dengan syarikat tempatan bagi memastikan kehadiran mereka memberi nilai tambah kepada ekosistem perniagaan domestik.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kerajaan tidak mahu kemasukan pelaburan asing menyebabkan syarikat tempatan yang sudah bertapak dan berjaya terjejas atau terpaksa menutup operasi akibat persaingan secara langsung dengan pelabur baharu.

“Kita akan jemput seramai mungkin pelabur dari luar untuk datang dalam negara kita. Tetapi apa yang kita nak jaga ialah mana-mana pelabur yang datang dalam negara kita ini, dia juga kena mengambil kira bahawa kalau ada perniagaan dalam negara kita yang dikendalikan komuniti perniagaan Malaysia, dia mesti pastikan bahawa dia tidak sampai tahap bersaing dengan syarikat-syarikat kita yang telah berjaya.

“Akhirnya syarikat-syarikat itu tutup kerana mereka tidak boleh melawan dengan struktur teras yang ada,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Gabungan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) di Setia Alam hari ini.

Menurut Johari, persaingan secara langsung itu dalam sesetengah keadaan turut boleh melibatkan bahan mentah, termasuk apabila berlaku tindakan anti-lambakan sehingga bekalan bahan mentah terputus kerana pelabur baharu mahu mengambil bahagian pasaran yang telah dimiliki syarikat tempatan.

“Kadang-kadang ia melibatkan anti-lambakan, bahan mentah pun diputuskan kerana mereka mahu mengambil bahagian pasaran yang kita sudah ada. Sesetengah perniagaan yang ada di sini, sejak merdeka mereka sudah berkembang sehingga menjadi sebuah syarikat besar. Jika kita membawa pelabur yang bersaing dengan perniagaan mereka, akhirnya mereka pun tutup,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan mahu mengelakkan keadaan sedemikian berlaku dan sebab itu perkara berkenaan akan diambil kira ketika proses permohonan lesen bagi pelaburan baharu.

Katanya lagi, kerajaan akan melihat jenis perniagaan yang ingin dijalankan pelabur, dari mana sumber bahan mentah diperoleh serta aktiviti yang ingin dilaksanakan.

Beliau berkata, pendekatan itu penting kerana Malaysia sudah mempunyai perniagaan tempatan yang dibangunkan sejak negara mencapai kemerdekaan 68 tahun lalu.

“Tinggal lagi kita nak tengok kalau kita kurang teknologi, mereka boleh datang membawa teknologi untuk bekerjasama dengan syarikat tempatan. Bukan menghapuskan syarikat tempatan,” katanya.

Johari berkata, syarikat tempatan yang perlu diberi perhatian bukan hanya perusahaan mikro, sebaliknya turut merangkumi syarikat bersaiz besar dalam kategori perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang sudah lama bertapak.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img