PM ucap takziah kepada mangsa gempa bumi kuat di Colombia

DATUK Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam kejadian gempa bumi kuat yang melanda bahagian barat Colombia, semalam.

Menerusi hantaran di media sosial hari ini, Perdana Menteri sedih menerima berita mengenai kejadian gempa bumi berkenaan yang disifatkan sebagai paling kuat melanda negara itu dalam tempoh beberapa dekad.

“Bagi pihak Kerajaan dan rakyat Malaysia, saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mereka yang kehilangan nyawa, serta simpati kepada semua yang terjejas.

“Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Colombia pada waktu yang sukar ini.

“Kami memberi penghormatan kepada petugas penyelamat dan sukarelawan yang terus berusaha mencari mangsa yang terselamat dalam keadaan gegaran susulan masih berlaku, serta mendoakan agar mereka yang cedera segera pulih dan mereka yang masih hilang ditemukan dengan selamat,” katanya dalam hantaran itu.

Anwar turut menyatakan solidariti Malaysia bersama masyarakat antarabangsa dalam mendoakan kekuatan dan ketabahan rakyat Colombia untuk menghadapi situasi berkenaan.

Terdahulu, Colombia mengisytiharkan darurat pada Isnin selepas gempa bumi kuat berukuran 7.4 magnitud mengorbankan sekurang-kurangnya 111 penduduk dan merosakkan lebih 1,500 bangunan.

Setakat ini, jumlah mangsa yang masih tertimbus di bawah runtuhan belum diketahui.

Gempa itu dirasai di seluruh Colombia, termasuk ibu negara Bogota, apabila orang ramai bergegas keluar ke jalan raya dengan masih memakai pakaian tidur.

Pada kedalaman 110 kilometer, gempa itu turut dirasai di negara jiran Ecuador dan Panama.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here