INDUSTRI perfileman tanah air berduka atas pemergian tokoh legenda dan perintis seni filem Melayu, Tan Sri L Krishnan yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 104 tahun.
Berita sedih itu dikongsi Sandakiah Azez, anak kepada pelakon veteran Allahyarham Datuk Aziz Sattar, yang menghubungi isteri mendiang, Puan Sri Rukmanee di Chiang Mai.
“Difahamkan, mendiang L Krishnan sudah lama bermastautin di Thailand selepas berkahwin dengan isterinya yang juga rakyat negara itu.
“Ketika ini, segala urusan penghormatan terakhir dan pengebumian mendiang sedang dikendalikan ahli keluarga. Jika ada maklumat terkini daripada keluarga, saya akan kongsikan kepada media,” katanya, lapor Harian Metro.
Sepanjang hayatnya, mendiang mengabdikan diri dalam dunia seni dan dianggap sebagai antara tiang seri utama yang membangunkan industri perfileman negara sejak era pra-merdeka.
Jasa paling ikonik mendiang adalah apabila beliau menjadi individu yang menggilap bakat seniman agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee menerusi filem Bakti pada tahun 1950.
Langkah berani mendiang memberikan watak utama kepada P Ramlee ketika itu telah membuka lembaran baharu dalam sejarah perfileman Melayu.
Sepanjang kerjaya pengarahannya, L Krishnan telah mengarahkan lebih 30 buah filem Melayu yang menjadi khazanah berharga negara hingga ke hari ini.
Selain mengarah, mendiang turut memainkan peranan penting dalam penubuhan Studio Merdeka di Hulu Kelang, Selangor yang menjadi pusat produksi pelbagai filem legenda.
Sumbangan mendiang tidak terhenti di situ apabila beliau turut mengasaskan syarikat Gaya Film Berhad yang menyediakan perkhidmatan pascaproduksi untuk penggiat seni tempatan.
Mendiang yang dilahirkan pada 21 Oktober 1922 di Madras, India bukan sahaja dihormati sebagai seorang pengarah filem yang berkaliber, malah dikenali sebagai figura yang aktif dalam kerja-kerja kebajikan serta kemasyarakatan.
Pemergian mendiang disifatkan sebagai satu kehilangan besar yang sukar dicari ganti dalam arena seni bina bangsa dan sejarah hiburan tanah air.





