KEGIATAN perlombongan wang digital secara haram yang dipercayai beroperasi di sebuah gudang di Port Klang Free Zone (PKFZ), Pulau Indah dekat Klang terbongkar selepas diserbu polis semalam.
Dalam operasi itu, polis menahan dua lelaki termasuk seorang warga asing berusia 20 dan 31 tahun yang dipercayai terbabit dalam kegiatan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, pihaknya turut merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan bagi menjalankan aktiviti perlombongan wang digital untuk membantu siasatan.
“Polis juga sedang menyiasat tempoh sebenar kegiatan perlombongan wang digital itu dijalankan di gudang berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, susulan serbuan itu, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat serta Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990.
Menurutnya, kesalahan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Katanya, bagi kesalahan mengikut Seksyen 37(1) Akta Bekalan Elektrik 1990 pula, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali.
“Mahkamah membenarkan kedua-dua suspek direman selama empat hari bermula hari ini hingga 7 Julai bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.






