Zamil, Mukhlis diarah bayar RM483,000 kepada Ustaz Husam

PENDAKWAH bebas Ahmad Husam Muhamad Baderudin hari ini menang saman ke atas aktivis politik Zamil Ibrahim serta bekas pegawai khas Datuk Seri Najib Razak, Muhammad Mukhlis Maghribi.

Keputusan itu dicapai dalam penghakiman yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar hari ini melalui hakim Mohd Aimi Zaini.

Peguamcara bagi pihak Ahmad Husam yang bertindak sebagai plaintif, Muhammad Asyraf Abd Aziz dari firma guaman Zain Megat & Murad mengesahkan perkembangan itu.

Katanya, dalam prosiding berlangsung hari ini, Zamil dan Mukhlis diarah membayar keseluruhan ganti rugi dan kos sebanyak RM483,000.

“Mahkamah mengakui terdapat konspirasi untuk ‘mencederakan’ Ustaz Husam melalui kewangan dengan komplot mendapatkan RM400,000 daripada Ustaz Husam.

“Kedua, mahkamah memutuskan memang setiap penerbitan oleh Zamil dan Mukhlis di media sosial adalah satu fitnah terhadap Ustaz Husam,” katanya lapor Malaysiakini.

Pada 27 Disember 2023, Ahmad Husam memfailkan saman fitnah RM5 juta terhadap empat individu, termasuk dua bekas pegawai Najib.

Saman itu dikemukakan terhadap Zamil yang juga bekas Presiden Parti Keadilan Insan Tanah Air (Kita) dan Mukhlis.

Manakala pada 29 Mac 2024, Ahmad Husam membuat laporan polis, dakwa diugut Zamil dan Mukhlis.

Sementara itu, Ahmad Husam dalam kenyataannya melahirkan rasa syukur selepas keputusan mahkamah itu.

Kata beliau, perjalanannya untuk mencapai kepada keputusan mahkamah hari ini bukanlah sesuatu yang mudah.

“Saya dengan penuh rasa syukur ingin memaklumkan bahawa Mahkamah Tinggi Alor Setar telah membenarkan keseluruhan tuntutan saman saya terhadap dua individu, iaitu Zamil dan Mukhlis berhubung konspirasi untuk mendapatkan sejumlah wang daripada saya secara salah serta perbuatan fitnah terhadap saya.

“Sesungguhnya perjalanan untuk sampai ke hari ini bukanlah sesuatu yang mudah. Namun saya percaya bahawa kebenaran mungkin mengambil masa untuk terserlah, tetapi dengan izin Allah SWT, kebenaran tetap akan menemukan jalannya,” katanya.

Ahmad Husam turut merakamkan penghargaan peguamnya yang bertungkus lumus membantunya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here