SEBANYAK 34,451 unit barang kes membabitkan 751 kertas siasatan bagi tempoh 2010 hingga 2026 dilupuskan Polis Kuala Lumpur dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM2.34 juta.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, pelupusan itu membabitkan empat daerah iaitu Dang Wangi, Cheras, Putrajaya dan Sentul.
Menurutnya, antara barangan yang dilupuskan termasuk mesin Bitcoin, minuman keras, rokok, komputer riba serta pelbagai barangan lain berkaitan kes perjudian, noda, kontraban dan kes am.
“Pelbagai jenis kategori barang kes melibatkan 34,451 unit dan RM2,267 wang tunai bagi tujuan pelupusan,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelupusan Barang Kes, Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau berkata, daripada keseluruhan 751 kertas siasatan itu, sebanyak 244 membabitkan barang kes am, 170 kes noda dan hiburan, enam kes Bitcoin, 270 kes perjudian serta 61 kes kontraban.
Katanya, anggaran nilai keseluruhan barang kes yang dilupuskan adalah RM2,344,627.68.
“Semua kertas siasatan berkenaan telah selesai dan kes terbabit mendapat keputusan serta perintah pelupusan daripada mahkamah.
“Semua barang kes yang terlibat mendapat Perintah Pelupusan Barang Kes mengikut Seksyen 407(2) Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593),” katanya, lapor Sinar Harian.
Fadil berkata, proses pelupusan dilaksanakan mengikut tatacara dan peraturan ditetapkan bagi memastikan setiap barang kes diuruskan dengan teratur, selamat dan berintegriti.
Katanya, langkah itu turut mencerminkan komitmen polis dalam memastikan pengurusan barang kes dilaksanakan secara telus dan bertanggungjawab.





