PASUKAN Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya merampas sejumlah 11.06 kilogram dadah disyaki syabu bernilai lebih RM550,000 di perairan Kampung Terusan Hujung, Pulau Bum Bum di Semporna awal pagi tadi.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, rampasan dilakukan pada jam 1.45 pagi selepas pihaknya mengesan sebuah bot laju dalam keadaan mencurigakan menerusi maklumat risikan berkaitan aktiviti pengedaran dadah.
“Ketika cuba dihampiri, seorang lelaki yang berada di atas bot tersebut bertindak terjun ke laut dan melarikan diri ke kawasan daratan sebelum pemeriksaan menemukan 11 bungkusan dadah disyaki syabu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan lebih RM578,000 termasuk bot laju yang ditinggalkan oleh suspek.
Ahmad Amri memberitahu, kes ini disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala usaha mengesan suspek yang melarikan diri masih giat dijalankan.
Secara keseluruhan, beliau berkata, PPM Wilayah 4 Sabah telah merekodkan 15 kes di bawah akta berkenaan bagi 2026, melibatkan 24 tangkapan dengan nilai rampasan lebih RM718,000.
Beliau turut menegaskan risikan serta rondaan secara bersepadu bersama-sama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Polis Kontinjen Sabah akan terus diperhebat bagi membanteras kegiatan pengedaran dan penyeludupan dadah di perairan negeri ini.





