POLIS Diraja Malaysia (PDRM) melalui Cawangan Risik Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Bukit Aman dengan kerjasama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Johor telah berjaya membongkar satu aktiviti transaksi minyak sawit mentah (CPO) secara tidak sah di Kampung Parit Awang, Yong Peng, Johor.
Dalam kenyataan melalui Facebook, Komander PSP, Senior Asisten Komisioner Rosli Md Yusof berkata, serbuan yang dijalankan hasil maklumat pada jam 12 tengah hari mendapati berlakunya pemindahan minyak sawit mentah daripada lori tangki ke dalam tangki IBC di lokasi yang tidak diwartakan. Aktiviti tersebut dipercayai dijalankan tanpa lesen sah.
‘’Hasil operasi, seramai empat lelaki tempatan berusia antara 23 hingga 43 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan. Turut dirampas adalah dua buah lori tangki mengandungi CPO, mesin pam, 23 tangki IBC serta peralatan berkaitan.
‘’Jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM1,385,514.00, melibatkan minyak sawit mentah serta kenderaan dan peralatan yang digunakan dalam aktiviti tersebut,’’ katanya.
Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 78 Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 (Akta 582) serta Peraturan-Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Perlesenan) 2005. Kesemua tangkapan dan barang rampasan telah diserahkan kepada pihak MPOB Johor untuk tindakan lanjut.
‘’Operasi ini dilaksanakan secara bersepadu selaras dengan pendekatan Reformasi Karenah Birokrasi (RKB) bagi memperkukuh penguatkuasaan antara agensi. PDRM akan terus komited dalam membanteras aktiviti haram yang menjejaskan industri negara serta memastikan pematuhan undang-undang dipatuhi sepenuhnya,’’ kata beliau.


