POLIS Pahang menafikan tiada sebarang tindakan penguatkuasaan dilakukan terhadap kartel dadah berskala besar yang dikatakan menjalankan aktiviti di Genting Highlands, Bentong seperti tular dalam media sosial.
Pemangku Ketua Polis Pahang, Datuk Azry Akmar Ayob berkata, beliau tidak bersetuju dengan kenyataan itu kerana siasatan akan dilakukan sebaik laporan diterima.
“Apa-apa insiden (kes) yang berlaku sama ada di Genting Highlands atau di mana sekali pun, sekiranya ada laporan polis membabitkan insiden yang menyalahi undang-undang, kami tetap meneruskan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya.
“Jadi untuk menyatakan ada kartel dadah besar beroperasi di Genting Highlands, saya menafikannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di Kuantan hari ini, lapor BH.
Pada majlis itu, Senior Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahar yang sebelum ini Urusetia JPJKK Bukit Aman dilantik sebagai Ketua JPJKK Pahang baharu menggantikan Datuk Mohamad Noor Yusof Ali yang dilantik sebagai Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Penyerahan serah tugas dilakukan antara Ahmad Sukarno dan Pemangku Ketua JPJKK Pahang, Asisten Komisioner Muhammed Rizal Kamarudin.
Sementara itu, Azry Azmar berkata, sepanjang tempoh lebih 31 tahun dalam PDRM, Ahmad Sukarno mempunyai pengetahuan, kepimpinan dan pengalaman yang amat relevan untuk memimpin JPJKK Pahang.
“Saya percaya, Ahmad Sukarno berupaya meneruskan segala usaha dan pencapaian yang dibina kepimpinan terdahulu.
“Di samping memperkenalkan pendekatan dan inovasi baharu bagi memperkukuhkan lagi fungsi JPJKK demi memenuhi aspirasi pasukan serta meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap pasukan Polis Diraja Malaysia khususnya di Kontinjen Pahang ini,” katanya.




