SEORANG pelajar lelaki Tingkatan Empat direman enam hari di Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini bagi membantu siasatan penemuan seorang pelajar perempuan yang disyaki dibunuh dalam dewan sebuah sekolah menengah di Yong Peng dekat Batu Pahat, semalam.
Perintah reman terhadap suspek berusia 16 tahun itu dibenarkan Majistret Mustaqim Sukarno bermula hari ini hingga Jumaat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Tempoh reman itu juga diperlukan bagi membolehkan polis merekodkan keterangan suspek yang juga rakan sekelas mangsa.
Terdahulu, suspek yang memakai jersi biru tiba di mahkamah pada jam 10.20 pagi sebelum dibawa masuk ke kamar untuk prosiding reman, lapor BH.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal, 16, ditemukan dalam keadaan kritikal oleh rakan dan neneknya selepas tidak pulang ke rumah sebaik kelas tambahan selesai.
Ketika ditemukan, terdapat kesan darah kering pada badan mangsa selain lebam seolah-olah dipukul. Turut ditemukan pasu pecah berdekatan mangsa.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, siasatan kes tersebut masih dijalankan.
“Polis sedang menyiasat kejadian ini sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan,” katanya.





