POLIS sedang menyiasat insiden pergaduhan membabitkan sekumpulan lelaki yang tular dalam media sosial di sebuah kedai makan di kawasan Permas Jaya di Johor Bahru pada malam Sabtu lalu.
Setakat ini polis telah menerima satu laporan yang dibuat oleh seorang individu, dipercayai mangsa kejadian.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, polis menerima laporan itu dan siasatan kini sedang giat dijalankan pihaknya.
“Polis menerima laporan pada jam 9.12 malam dan siasatan akan dimulakan,” katanya ketika dihubungi hari ini, lapor Sinar Harian.
Sebelum ini, tular satu rakaman video berdurasi satu minit 29 saat memaparkan suasana di sebuah kedai makan dipenuhi pelanggan sebelum kelihatan beberapa lelaki berpakaian gelap bergerak di sekitar kawasan berkenaan.
Rakaman itu turut menunjukkan empat lelaki menghampiri meja yang diduduki dua individu sebelum berlaku pertengkaran dan salah seorang mangsa dilihat dipukul.
Tidak lama kemudian, sekumpulan lelaki berpakaian hitam dipercayai melebihi 20 orang muncul dari pelbagai arah dan menyerang kedua-dua mangsa.
Bagaimanapun, kejadian itu hanya berlangsung sekitar 35 saat selepas beberapa orang awam cuba campur tangan, sebelum kumpulan lelaki terbabit beredar dari lokasi kejadian.


