
TIDAK salah jika ada pihak mentafsirkan Perikatan Nasional (PN) memasuki gelanggang PRN Johor dengan misi berbeza walaupun menggunakan lambang yang sama.
Dua parti utama Pas dan Bersatu tidak lagi mempunyai kerjasama politik. Pas akan bertanding di 11 kerusi manakala Bersatu di 16 kerusi manakala dua lagi komponen PN iaitu MIPP (5 kerusi) dan Pejuang (1 kerusi).
Maknanya PN hanya bertanding 33 kerusi daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Majoriti mudah tubuh kerajaan ialah 29 kerusi manakala manakala majoriti dua pertiga ialah 38 kerusi.
Sebab itulah awal-awal lagi Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang meletakkan sasaran untuk Pas hanya menjadi blok pembangkang dan penasihat kepada kerajaan.
Itupun jika Pas berjaya menambah kerusi dalam PRN kali ini selepas hanya mampu menguasai satu kerusi sahaja iaitu DUN Maharani pada PRN lalu di 15 kerusi yang ditandingi.
Kali ini Pas bertarung di Jementah,Maharani, Sri Medan, Endau,Pasir Raja, Semerah, Simpang Jeram, Sungai Balang,Tiram,Tenang dan Kahang.
Berdasarkan 11 kerusi itu, Pas mungkin boleh memberi saingan sengit di DUN Maharani dan Simpang Jeram. Di DUN Maharani, Pas akan cuba mempertahankan kerusi itu dengan berhadapan cabaran Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) dan Muda.
Kerusi itu dimenangi oleh Pas dengan majoriti 1,037 undi selepas calonnya mendapat 7,759 undi berbanding calon PH (6,522 undi) dan BN (5,861 undi).
Satu lagi kerusi yang boleh Pas menaruh harapan ialah Simpang Jeram yang disandang oleh PH dengan majoriti 3,514 undi. Ketika PRK 2023, calon PH Nazri Abdul Rahman memperolehi 13,844 undi manakala Calon PN Dr Mazri Yahya mendapat 10,330 undi. Bagaimanapun turut bertanding di situ kali ini ialah PH dan Muda.
Di kerusi 9 kerusi lagi Pas boleh memberi saingan walaupun untuk mencapai kemenangan agak sukar tetapi ia bukan mustahil. Berdasarkan keadaan itulah, Abdul Hadi awal-awal mensasarkan Pas hanya mahu menjadi pembangkang kerana tahu laluan sukar di Johor.

Bagaimanapun ia berbeza dengan Bersatu yang turun ke gelanggang menggunakan lambang PN. Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin tetap yakin peluang PN membentuk kerajaan walaupun hanya bertanding 33 kerusi.
Kata beliau, jumlah kerusi ditandingi bukan satu-satunya ukuran kerana keputusan akhir tetap bergantung kepada pilihan rakyat.
Memang betul, dalam pilihan raya rakyat yang membuat penentuan tetapi rakyat juga sudah bijak menilai. Tidak pasti daripada analisis mana Muhyiddin rujuk bagi membolehkan beliau membentuk keyakinan tersebut, tetapi penulis melihat senario di kerusi yang akan ditandingi oleh Bersatu.
Bersatu bertanding di 16 kerusi. Daripada jumlah 13 kerusi BN menjadi penyandang manakala satu kerusi disandang oleh PH.
Pada PRN 2022, Bersatu bertanding 33 kerusi tetapi hanya mampu menang dua kerusi sahaja iaitu di Bukit Kepong melalui Datuk Dr Sahruddin Jamal dengan majoriti tipis 710 undi.
Dr Sahruddin akan berhadapan dengan calon PH dan BN bagi mempertahankan kerusi itu.
Satu lagi kerusi di Endau melalui Alwiyah Talip tetapi kerusi itu sudah terlepas daripada genggaman Bersatu apabila selain ia akan ditandingi oleh Pas, Alwiyah pula akan mempertahankan kerusi itu atas tiket Barisan Nasional (BN).
Jika sokongan kepada Alwiyah beralih kepada PN, Pas akan menang tetapi ia nampak sukar memandangkan Alwiyah sudah dua penggal di situ. Kali pertama bertanding atas tiket BN, beliau menang majoriti 3,080 undi dan kedua bersama PN dengan majoriti 3,041 undi.
Selain Bukit Kepong, Bersatu bertarung di 15 kerusi lain iaitu Layang-Layang,Sedili,Parit Raja,Kemelah,Bukit Pasir,Serom,Bukit Naning, Semarang, Rengit, Tenggaroh, Panti, Senggarang, Johor Lama, Stulang dan Penawar.
Di Layang-Layang agak menarik, mungkin Bersatu ada peluang jika calonnya Abd Mutalip Abd Rahim yang mewakili BN pada PRN lalu berjaya mempertahankan sokongan terhadapnya.
Pada 2022, Abd Mutalib menang dengan majoriti 2,815 undi selepas mendapat 7,551 undi. Jumlah ini lebih sedikit sahaja daripada keputusan PRU-14 apabila Datuk Onn Hafiz Ghazi menang kerusi itu dengan majoriti tipis 364 undi selepas mendapat 7,449 undi.
Saingan Onn Hafiz pada pilihan raya itu ialah calon PKR Cikgu Murugan yang mendapat 7,085 undi. Bagaimanapun pada PRN 2022 calon PKR hanya mendapat 4,736 undi. Maknanya Layang-Layang adalah kubu BN kecuali pengundi kawasan itu tetap mengundi Abd Mutalib atas kapasiti individu bukan parti.

Bersatu turut mampu memberi cabaran di enam kerusi iaitu Bukit Pasir,Serom, Rengit,Tenggaroh, Senggarang dan Johor Lama.
Peluang terbaik Bersatu adalah di Bukit Pasir dan Serom kerana di kedua-dua kerusi itu ia dimenangi oleh BN dengan majoriti 198 undi di Bukit Pasir dan 699 undi majoriti di Serom.
Tetapi di Bukit Pasir, pada PRN lalu ia ditandingi oleh calon Pas yang mendapat 5,850 undi manakala BN (6,048 undi),PH (4,676 undi). Jika penyokong Pas sedia beri undi kepada Bersatu, tidak mustahil Bersatu akan menang di situ.
Senario yang sama juga ada di Serom apabila kerusi itu dimenangi oleh BN dengan majoriti 699 undi melalui calonnya Khairin-Nisa yang mendapat 8,509 undi.
Pencabar terdekat BN ketika itu calon PN daripada Pas ialah Ustaz Tok Rahmat yang mendapat 7,808 undi manakala calon PH Assim Abdullah memperoleh 5,509 undi. Jika penyokong Pas beri undi kepada calon Bersatu kali ini, Bersatu ada peluang untuk menang.
Di Rengit, Bersatu mempunyai peluang untuk memberi saingan di kerusi yang dimenangi oleh Datuk Dr.Puad Zarkashi (BN) pada PRN lalu.
Kali ini peluang tidak bertanding dan harapan beliau mahu anaknya bertarung di situ juga tidak kesampaian. Jika penyokong bekas Speaker DUN Johor itu beralih arah, mungkin Bersatu boleh buat kejutan.
Itupun nampak sukar memandangkan Rengit adalah kubu BN. Pada PRU-14, parti itu menang di situ dengan majoriti 4,172 undi.
Pada PRN lalu, di DUN Tenggaroh, Bersatu memberi saingan dengan mendapat undi 9,172 undi berbanding calon BN K.Raven Kumar yang menang dengan majoriti 1,356 undi selepas mendapat undi 10,528 undi tetapi PRN kali ini pertarungan berbeza.
Bersatu mampu mengulangi sejarah dan tidak mustahil memberi saingan kepada BN yang kali ini meletakkan calon daripada UMNO.
Di Senggarang, Bersatu memperolehi undi keseluruhan 5,624 undi dan Johor Lama 6,132 undi pada PRN Johor 2022.
Tetapi harapan Bersatu menang agak sukar kerana di Senggarang BN menang dengan majoriti 3,912 undi selepas mendapat 9,725 undi manakala di Johor Lama BN menang dengan majoriti 6,039 undi selepas mendapat 12,1271.
Bersatu juga boleh beri saingan sengit di Kemelah selepas berjaya mendapat undi keseluruhan 3,902 undi berbanding calon PH 3,317 undi. Kerusi itu dimenangi oleh BN dengan majoriti 1,531 undi selepas mendapat 5,437 undi.
Manakala di Sedili,Parit Raja, Bukit Naning,Semarang,Panti,Stulang dan Penawar, lalu sukar menanti Bersatu, boleh sahaja menaruh harapan untuk menang tetapi ia tipis berdasarkan kekuatan BN dan PH (DUN Stulang).
Berdasarkan apa yang dipaparkan adalah jelas, Muhyiddin boleh sahaja memasang impian untuk PN menang di Johor tetapi ia terlalu kabur. Tetapi dalam pilihan raya segala berkemungkinan apatah lagi dengan Bersatu memiliki pemimpin seperti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Datuk Dr, Radzi Jidin dan Tun Faisal Ismail Aziz. Mereka pasti mempunyai strategi. Betul tak?
Namun penulis lebih memihak kepada sasaran Abdul Hadi kerana ia dilihat lebih realistik berdasarkan perkembangan dalam PN. Apapun rakyat membuat pilihan dan Allah SWT menentukan.






