SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bersama pertubuhan belia di Melaka bekerjasama menyebarkan mesej antirasuah kepada 100 pemimpin belia sempena Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Melaka 2026 di Stadium Jasin di Jasin semalam.
Program anjuran bersama SPRM, Majlis Gabungan Belia Melaka (MGBM) serta Jabatan Belia dan Sukan Negeri (JBSN) Melaka ini menekankan kepentingan pengurusan dana organisasi belia secara telus, amanah dan berintegriti.

Presiden MGBM, Datuk Khaidirah Abu Zahar dalam ucapannya mengingatkan bahawa sekecil-kecil penyelewengan boleh menghakis kepercayaan masyarakat dan menjejaskan reputasi pertubuhan.
Para peserta turut mengikuti ceramah antirasuah yang disampaikan oleh Pegawai Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM (PenMas), Kesavan Rathakrishnan.
Turut diadakan Forum Pengurusan Dana Berintegriti Dalam Organisasi Belia yang menampilkan Ketua Cawangan Sosiobudaya dan Politik PenMas SPRM, Aini Awang Muda dan Penolong Pengarah (Sukan), JBSN Melaka, Mohd Khoirol Kamis serta dikendalikan oleh pegawai SPRM, Nur Falihin Ahmad Fadillah sebagai moderator.
Kerjasama ini bertepatan dengan tema sambutan Hari Belia Negara 2026, iaitu `Menggerak Belia’. Ia menekankan usaha memperkukuh kepimpinan generasi muda, mengangkat potensi mereka serta mempersiapkan belia menghadapi cabaran masa hadapan.






