SEORANG murid lelaki Tahun Lima cedera selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga sebuah bangunan sekolah di Padang Terap ketika cuba menangkap burung merpati pada petang semalam.
Ketua Polis Daerah Padang Terap, Superintenden Mohd Anuar Junoh berkata, pihaknya menerima panggilan daripada seorang guru sekolah berkenaan kira-kira jam 4 petang yang memaklumkan mengenai kejadian itu.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai terjatuh ketika cuba mengambil sarang burung di tingkat atas bangunan sekolah berkenaan.
“Mangsa kini sedang menerima rawatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar. Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada kemalangan sendiri dan setakat ini tiada sebarang unsur jenayah dikesan,” katanya lapor Sinar Harian.
Beliau berkata, siasatan lanjut berhubung kejadian itu masih diteruskan pihaknya.
Difahamkan, kejadian berlaku selepas murid berkenaan pulang ke rumah dan datang semula untuk sesi petang kelas KAFA,
Kejadian berlaku sebelum kelas KAFA bermula dan murid tersebut panjat siling seorang diri di tingkat tiga untuk menangkap burung merpati di dalam siling melalui laluan pili bomba.






