PRN Melaka: Azmin tidak tolak persefahaman lebih terbuka Bersatu-PH

KEMUNGKINAN wujud persefahaman lebih terbuka antara Bersatu dan Pakatan Harapan (PH) menjelang penghujung kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka tidak ditolak, meskipun kedua-dua parti belum mempunyai sebarang pendirian rasmi berhubung kerjasama itu.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberi bayangan bahawa perkembangan sedemikian boleh dipertimbangkan sekiranya ia dilihat sebagai strategi terbaik dalam menghadapi pilihan raya berkenaan.

Menurutnya, pengalaman dalam beberapa siri pilihan raya menunjukkan tempoh akhir kempen lazimnya menjadi ruang untuk parti politik memperkukuh persepsi positif selepas pengundi menilai manifesto serta tawaran dikemukakan calon.

“Kita tidak dapat menentukan apa yang akan berlaku di penghujung tempoh berkempen. Tetapi, pengalaman saya dalam banyak pilihan raya, di penghujung tempoh berkempen ini biasanya pengundi sudah pun mengambil pendirian, selepas mereka menilai manifesto ataupun tawaran yang dibuat calon.

“Maka pada saat-saat akhir itu, saya kira mereka sudah ada pendirian cuma parti politik biasanya menggunakan kesempatan itu untuk menzahirkan satu persepsi yang lebih positif.

“Kalau itulah strategi yang terbaik, kita mungkin dapat menilai pada masa yang berkenaan,” katanya, lapor BH.

Dalam masa sama, Azmin mengakui Bersatu tidak boleh bergerak secara bersendirian, sebaliknya perlu membina kerjasama politik dengan pihak lain bagi mewujudkan kestabilan di peringkat negeri dan negara.

Beliau berkata, walaupun Bersatu tidak membentuk gabungan rasmi dengan mana-mana parti bagi PRN Melaka, persefahaman tetap dicapai dalam menentukan pembahagian kerusi yang ditandingi.

“Jadi dalam konteks ini, Bersatu juga mengambil pendirian selepas kita teliti dan bincang, kita bersetuju bahawa Bersatu tidak boleh bersendirian.

“Bersatu mesti bergerak dengan satu kerjasama politik ataupun gabungan yang dapat menjamin kestabilan bagi negeri dan juga negara.

“Bagi PRN Melaka, kita belum bergabung ataupun mempunyai gabungan dengan mana-mana parti, tetapi sudah tentulah kita ada persefahaman bagi menentukan kerusi ditandingi,” katanya.

Pada PRN kali ini, Bersatu bertanding di tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Lendu, Sungai Udang, Pantai Kundor, Kelebang, Pengkalan Batu, Ayer Keroh dan Bemban.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here