POLIS menahan seorang wanita yang disyaki melakukan perbuatan khianat dengan menyembur tulisan kalimah Allah dan lambang salib pada kotak panel elektrik di sekitar Taman Sutera, Kajang baru-baru ini.
Wanita tempatan berusia lingkungan 40-an itu ditahan Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang pada jam 2.15 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya turut merampas beberapa barangan termasuk cat merah dan pakaian yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian berkenaan.
“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian, termasuk mendapatkan keterangan saksi serta meneliti rakaman video yang tular,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 298 dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Katanya, jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara atau denda maksimum sehingga RM500,000, bergantung kepada peruntukan undang-undang yang berkaitan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Muhammad Nazirulzahin Mohd Hashim di talian 017-888 1475.
Naazron turut menegaskan polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan dan tindakan akan diambil mengikut undang-undang.
Terdahulu, tular satu rakaman video dipercayai dirakam orang awam memaparkan seorang wanita berada berhampiran kotak panel elektrik yang tertera tulisan kalimah Allah dan lambang salib.
Wanita itu turut dilihat memegang tin cat sembur sebelum menghampiri dan bercakap dengan dua lelaki.





