
ISU siapa bakal menjadi Menteri Besar atau menerajui pentadbiran sekiranya persefahaman Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) berjaya membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, tidak pernah berbangkit.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, ketika ini fokus utama adalah untuk memastikan persefahaman antara kedua-dua gabungan mampu menghasilkan kemenangan sebanyak mungkin.
Malah katanya, pimpinan PN membuat deklarasi menyerahkan jawatan Menteri Besar kepada BN.
“Oh tidak, kita tidak ada bincang siapa nak jadi MB (Menteri Besar) dan kita tidak ada bincang soal berapa kerusi Exco (Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri) dia nak, di mana kedudukan jawatan dia nak, tidak.
“Malah saya ucapkan terima kasih kepada pimpinan PN kerana telah buat deklarasi awal untuk menyerahkan jawatan Menteri Besar kepada UMNO dan BN,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Hari Kemahiran Kemajuan Masyarakat (Kemas) di Felda Pasoh 4 di Jelebu hari ini.
Jalaluddin berkata, sebarang lantikan jawatan dalam kerajaan negeri perlu dibuat berdasarkan keupayaan untuk mengukuhkan pentadbiran, bukan sekadar memenuhi kuota atau kepentingan individu.
Ditanya mengenai calon Menteri Besar dari BN, katanya gabungan itu mempunyai ramai pemimpin berwibawa untuk menggalas tanggungjawab itu.
“Oh calon dalam Barisan Nasional kita ramai. Kita ada Tok Mat, kita ada Jalaluddin Alias, kita ada Sufian Maradzi, dan ramai lagi calon-calon.
“Ini terpulang kepada Pengerusi BN untuk buat pilihan, Insya-Allah. Jangan risau. Orang kampung kata stok dalam bank banyak bonar,” katanya.






