RAKAN Niaga Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di seluruh negara mencatatkan peningkatan kepada 14,068 kedai setakat 7 Ogos, berbanding hanya sekitar 700 premis semasa program itu mula diperkenalkan pada 2024.
Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata peluasan rangkaian rakan niaga berkenaan amat penting, bagi memastikan bantuan tunai bersasar yang disediakan kerajaan dapat diakses secara mudah, pantas dan lebih dekat dengan komuniti setempat.
“Kerajaan berusaha melebarkan jaringan rakan niaga SARA di seluruh negara, supaya bantuan yang disediakan ini bukan sahaja dapat ditingkatkan nilainya, tetapi juga mudah diakses oleh semua penerima.
“Inilah pendekatan kerajaan bukan sekadar menyediakan bantuan, tetapi memastikan bantuan itu benar-benar sampai, boleh digunakan dan memberi manfaat kepada kehidupan rakyat,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan SARA di Pulau Bum Bum dekat Semporna hari ini.
Amir Hamzah berkata daripada jumlah keseluruhan Rakan Niaga SARA itu, sebanyak 1,495 premis beroperasi di Sabah, termasuk 32 kedai di Semporna dan 115 di Tawau.
Amir Hamzah berkata penggunaan SARA di Sabah amat memberangsangkan, apabila kadar perbelanjaan peruntukan SARA Bulanan mencapai RM501.2 juta, memanfaatkan sebanyak 815,689 penerima setakat 7 Ogos lepas.
Bagi kategori SARA Untuk Semua di Sabah pula, beliau berkata sebanyak RM158.9 juta peruntukan atau 88 peratus telah dibelanjakan oleh sebanyak 1.8 juta penerima dalam tempoh yang sama.
“Pencapaian transaksi tinggi di Sabah membuktikan lokasi terpencil, mahupun kekangan geografi tidak menjadi penghalang untuk rakyat menggunakan kredit bantuan yang disalurkan terus menerusi MyKad mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Amir Hamzah berkata liputan produk di bawah sistem SARA, telah ditingkatkan kepada lebih 140,000 jenis barangan keperluan asas merangkumi barangan dapur, perkakasan kebersihan diri serta produk makanan sejuk beku seperti ayam dan nugget.
“Bagi menggalakkan penglibatan peruncit kecil dan koperasi kampung, kerajaan turut memudah cara pendaftaran rakan niaga dengan menyediakan sistem titik jualan (POS) secara percuma, tanpa memerlukan peniaga membeli peralatan berkenaan,” katanya.
Amir Hamzah berkata peningkatan peruntukan keseluruhan STR dan SARA daripada RM10 bilion pada 2024 kepada RM15 bilion tahun ini, memperkukuh lagi komitmen kerajaan dalam menjamin keselamatan sosial rakyat.
Beliau memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus mengenal pasti kawasan luar bandar dan pulau di seluruh negara yang berdepan kekangan akses bagi memastikan tiada golongan sasar yang tercicir daripada menerima faedah SARA.





