
WALAUPUN Pilihan Raya Negeri (PRN) sudahpun berakhir namun penyertaan Barisan Nasional (BN) dalam Kerajaan Perpaduan yang diketuai Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masih menjadi perdebatan.
Ia memandangkan sebelum PRN, BN sudah menyatakan dengan tegas dan muktamad tidak akan bekerjasama dengan GRS sama ada sebelum atau selepas pilihan raya. Malah ketika kempen berlangsung, kedua-dua pihak ‘menyerang’ antara sama lain.
Sehubungan penyokong BN gembira dengan situasi itu kerana mereka berkeyakinan bahawa dengan jasa berpuluh-puluh tahun parti tersebut, maka Sabah akan kembali ke tangan BN.
Bagaimanapun suasana itu berubah apabila pada hari keputusan diumumkan, BN yang menang hanya enam daripada 43 kerusi ditandingi menyatakan bersedia bekerjasama dengan mana-mana parti sehaluan bagi menubuhkan kerajaan.
‘Rupa-rupanya’ parti sehaluan itu adalah GRS, maka BNpun bergabung dalam Kerajaan Perpaduan dengan mendapat satu kerusi Kabinet. Penyertaan BN mendapat bantahan dan menimbulkan perasaan tidak puashati termasuk dalam kalangan pengundi BN sendiri yang merasakan mereka diperdaya.
Bagaimanapun semalam Pengerusi BN, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi menyatakan, BN menyertai kerajaan Sabah kerana ‘realiti politik’.
Zahid berkata walaupun BN dan GRS tidak bertanding sebagai sekutu pada pilihan raya itu, suasana politik selepas keputusan diumumkan memerlukan satu penyusunan semula.
“Kita tahu ketika itu GRS tidak mempunyai kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan. Mereka hanya ada 29 kerusi, manakala BN ada enam.’’
“Inilah realiti politik. Kita tidak boleh bersikap kaku. Perkara ini mesti diterima demi kestabilan politik di Sabah,” katanya.
Beliau turut mengingatkan agar semua pihak tidak bersikap angkuh atau jumud dalam menilai keputusan politik sebaliknya memahami keperluan kerjasama itu yang dilakukan demi kestabilan pentadbiran negeri.
“Pelantikan telah dibuat. Ini hakikat politik. Jangan ada perasaan keangkuhan yang tinggi kerana hakikat politik itu sangat pragmatik dan mesti diterima sebagai satu hakikat untuk menghadapi dan menjana supaya kestabilan politik menjadi keutamaan bagi mensejahterakan rakyat Sabah,” katanya.
‘Realiti politiknya’ selepas keputusan diumumkan walaupun GRS mendapat 29 kerusi mereka dijangka tidak akan menghadapi masalah untuk menubuhkan kerajaan tanpa BN.
Ia kerana GRS boleh menubuhkan kerajaan melalui sokongan PH (1), UPKO (3), KDM (1) dan Bebas 5 menjadikan jumlah 39 kerusi, lebih 2 kerusi untuk majoriti mudah iaitu 37 kerusi dan kalau STAR Sabah turut beri sokongan 41 kerusi.
Dengan jumlah itu ‘realiti politiknya’ kalau BN ‘’bersikap kakupun’ tak apa sebab Kerajaan Sabah sudah stabil dengan gabungan 41 kerusi tersebut. Kestabilan ini subjektif ia bergantung sejauh manakah parti-parti yang terlibat tidak kiralah sama ada parti kerajaan dan pembangkang bersedia mempertahankannya.
‘Realiti politiknya’ kestabilan sesebuah kerajaan negeri boleh wujud biarpun memerintah dengan kelebihan satu kerusi asalkan tidak ada mana-mana parti mempunyai agenda menggugat atau menjatuhkan kerajaan yang ditubuhkan.
Atas sebab itulah ramai memuji sikap Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa pihaknya sedang berusaha membeli atau memujuk ADUN.
Tegasnya beliau, komitmen Warisan sentiasa berteraskan integriti dan kepimpinan yang mesti diperoleh melalui kepercayaan rakyat.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa Warisan sedang berusaha membeli atau memujuk ADUN. Kepercayaan anda amat kami hargai dan amanah itu kami pikul dengan penuh rendah hati serta penghormatan.
“Warisan menghormati mandat rakyat dan proses demokrasi yang menjadi asas pentadbiran negeri kita,” katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.
Tambah beliau, Warisan akan terus melaksanakan peranan yang diamanahkan dengan penuh maruah, konsisten, dan dengan iltizam yang tidak berbelah bahagi untuk berkhidmat kepada rakyat Sabah.
Warisan juga mendapat mandat rakyat dengan berjaya menguasai 25 kerusi DUN, kalau mahu mewujudkan kestabilan yang kukuh…Warisan jauh lebih layak daripada BN yang ada enam kerusi untuk menyertai kerajaan.
Tetapi Mohd Shafie menghormati mandat rakyat bukan sahaja memberi undi kepada Warisan tetapi juga kepada GRS, BN dan parti-parti lain. Dan sudah tentulah ketika itu mereka membuat keputusan berdasarkan ‘realiti politik’ bahawa Warisan dan BN adalah saingan GRS bukan sekutu.
Selain itu ‘realiti politik’ di Sabah juga menunjukkan parti-parti nasional ditolak hampir secara total…sebab itulah selain mereka ‘tidak kaku’ menolak DAP, mereka juga menolak BN dan PN.
Namun DAP yang berada dalam Pakatan Harapan (PH) bernasib baik kerana mereka ada ADUN tunggal dari PKR, Jamawi Jaafar manakala PN pula ada ADUN Karambunai, Datuk Dr.Aliakhbar Gulasan.
Bagi BN pula, walaupun menang enam kerusi namun ia tidak sepadan dengan jasa berpuluh-puluh tahun parti itu di Sabah yang diuar-uarkan ketika kempen PRN lalu. Namun itulah ‘realiti politik’, di pusat BN kalah tetapi dapat berada dalam kerajaan dan kini di Sabah pula dengan menggunakan ‘satu azimat’…demi kestabilan.
Apabila orang mempersoalkan keputusan politik bukan bermaksud mereka angkuh atau jumud, tetapi tidak mahu parti politik dituduh memperdayakan rakyat bagi mendapat sokongan.
Sebelum pilihan raya beria-ia bermusuh tetapi apabila sudah selesai pilihan raya beri alasan ‘bekerjasama dengan kestabilan dan kesejahteraan rakyat’’ .
Terserahlah kepada pemimpin BN untuk berhujah soal ‘realiti politik’ mengikut tafsiran parti itu tetapi bagi rakyat, selepas PRU-15 dan PRN Sabah, mereka semakin memahami ‘realiti politik’ dan taktikal BN untuk ‘menumpang kuasa’ dalam kerajaan biarpun kalah dan ditolak rakyat dalam pilihan raya.
Hakikatnya rakyat sudah dua kali berasa mereka ‘diperdaya’ maka tidak mustahil PRN Johor, Melaka dan PRU-16, mereka menolak BN secara total atau tidak keluar mengundi. Cakap-cakap tentang itu sudahpun bertebaran di media sosial…itulah sebenarnya realiti politik.


