778 motosikal diperiksa, 41 disita dalam Op Tutup, Samseng Jalanan

SEBANYAK 778 motosikal diperiksa dalam Op Tutup dan Samseng Jalanan di Lebuhraya Duta-Ulu Klang (DUKE) yang menjadi litar lumba haram sehingga mengganggu ketenteraman awam di ibu negara awal pagi ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, operasi bersepadu itu dijalankan susulan aduan awam berhubung bunyi bising dan gangguan akibat lambakan mat rempit di kawasan itu.

“Sebanyak 778 motosikal diperiksa malam ini, manakala 414 saman dikeluarkan secara keseluruhan oleh JSPT Kuala Lumpur dan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan (BSPT) Gombak.

“Daripada jumlah itu, 41 motosikal disita dan kami berjaya menahan lima penunggang yang didapati melakukan aksi rempit serta samseng jalanan, iaitu aksi Superman,” katanya dalam sidang media di lokasi operasi awal pagi ini, lapor Harian Metro.

Mohd Zamzuri berkata, operasi bermula kira-kira jam 3 pagi membabitkan 90 pegawai dan anggota dari JSPT Kuala Lumpur, BSPT Gombak dan kakitangan Lebuhraya DUKE.

Katanya, Lebuhraya DUKE dikesan menjadi antara lokasi tumpuan samseng jalanan berkumpul dan menguji kehebatan jentera masing-masing selain beberapa lokasi lain di sekitar ibu negara.

“Kebanyakan motosikal yang disita membabitkan ubah suai, khususnya ekzos dan ada sebuah motosikal yang disita kerana tidak mempunyai brek belakang. Breknya diubah suai sehingga dibuang.

“DUKE ini salah satu lokasi untuk mereka menjalankan aktiviti samseng jalanan. Selain itu, Jalan Tun Razak dan Jalan Raja Laut. Itu antara lokasi yang biasa dikesan, jadi sebenarnya operasi dijalankan setiap hari.

“Cuma malam ini kita jalankan operasi bersepadu, bagaimanapun tiap-tiap malam anggota saya mengambil tindakan terhadap samseng jalanan dan setiap hari ada tangkapan, termasuklah di Lebuhraya DUKE ini,” katanya.

Mohd Zamzuri berkata, keseluruhan 38 motosikal disita JSPT Kuala Lumpur dan tiga lagi oleh BSPT Gombak, manakala lima individu ditahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menunggang secara melulu.

Dalam operasi itu, rata-rata penunggang disaman kerana tiada lesen memandu dan ubah suai motosikal seperti ekzos, enjin, termasuk yang tiada brek.

Ketika ditahan, pelbagai alasan diberikan, antaranya tiada wang atau baru bercadang untuk mengambil lesen dan ada juga memberi alasan modifikasi motosikal sekadar suka-suka, bukan untuk berlumba.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here