Ramkarpal, Takiyuddin antara empat Ahli Parlimen dilantik anggota Majlis Perkhidmatan Parlimen

EMPAT Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang dipersetujui sebagai anggota Majlis Perkhidmatan Parlimen menerusi usul yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat hari ini.

Anwar berkata, pelantikan itu dibuat mengikut Seksyen 3(2)(f) Akta Perkhidmatan Parlimen 2025, selepas nama calon dipersetujui oleh Jawatankuasa Pemilih dalam mesyuarat pada 13 Oktober lalu.

Empat Ahli Parlimen yang dicadangkan ialah Ramkarpal Singh (Bukit Gelugor), Datuk Seri Hasni Mohammad (Simpang Renggam), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Beluran) dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (Kota Bharu).

Cadangan berkenaan kemudiannya dikemukakan untuk mendapat persetujuan Dewan Rakyat selaras dengan peruntukan undang-undang yang menetapkan keanggotaan majlis itu terdiri daripada dua wakil kerajaan dan dua wakil pembangkang.

Menurut Anwar, proses pemilihan tersebut dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pemilih berdasarkan Peraturan Mesyuarat 76 serta peruntukan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Majlis Perkhidmatan Parlimen merupakan satu daripada dua entiti utama yang diwujudkan di bawah akta berkenaan, selain Perkhidmatan Parlimen itu sendiri.

Keanggotaan majlis tersebut turut merangkumi Yang Dipertua kedua-dua Dewan, Setiausaha Dewan Negara dan Setiausaha Dewan Rakyat, selain wakil daripada kerajaan serta pembangkang.

Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 bersama pindaan berkaitan kepada Perlembagaan Persekutuan mula berkuat kuasa pada 1 Oktober lalu, sekali gus mengembalikan perkhidmatan khusus Parlimen selepas undang-undang terdahulu dimansuhkan pada 1992.

Langkah itu merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh pengurusan dan pentadbiran Parlimen melalui kerangka perkhidmatan yang khusus.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here