POLIS Diraja Malaysia (PDRM melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) telah membuka lima kertas siasatan berhubung kes melibatkan Lembaga Tabung Haji (TH), termasuk perkara yang dinyatakan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
Pengarah JSJK, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, setakat ini, sebanyak 127 orang telah diambil keterangan bagi membantu siasatan.
“Beberapa orang lagi akan dipanggil untuk diambil keterangan, termasuk saksi dari luar negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut beberapa peruntukan undang-undang termasuk Kanun Keseksaan, Akta Tabung Haji 1995, Akta Syarikat 1965 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
Rusdi memberitahu, polis komited memastikan setiap siasatan dijalankan secara bebas, telus dan profesional serta berlandaskan undang-undang.
“Mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam sebarang perlakuan jenayah akan diambil tindakan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung siasatan yang sedang dijalankan.
Polis turut menyeru orang ramai mendapatkan maklumat berkaitan perkembangan siasatan hanya daripada saluran rasmi bagi mengelakkan kekeliruan dan tidak menjejaskan proses siasatan.





