SEORANG remaja Palestin berusia 15 tahun dalam perjalanan pula dari sekolah mati ditembak oleh tentera Israel semasa satu serbuan ketenteraan di bandar Nablus, Tebing Barat yang diduduki semalam, menjadikannya mangsa kelima rakyat Palestin yang dibunuh dalam tempoh tiga hari di tengah peningkatan serangan.
Sumber tempatan mengesahkan remaja itu, Yousef Ashtiyeh, mengalami kecederaan parah selepas terkena tembakan peluru hidup di bahu oleh tentera Israel sebelum dipindahkan ke hospital berhampiran, di mana beliau disahkan meninggal dunia.
Pengarah komunikasi perbandaran, Abood al-Aker, berkata, enam kenderaan tentera Israel tiba di Nablus pada waktu pagi.
Beliau berkata, anggota tentera berkenaan sempat berinteraksi dengan pemilik kedai di kawasan komersial Rafidia sebelum menembak remaja itu ketika mereka sedang meninggalkan bandar tersebut. Mangsa dilaporkan dalam perjalanan pulang dari sekolah.
“Kami tidak tahu mengapa kanak-kanak ini ditembak ketika mereka beredar,” katanya.
Tentera Israel dalam kenyataan mendakwa seorang rakyat Palestin telah membaling batu ke arah pasukan mereka semasa “aktiviti operasi” di kawasan Nablus dan pasukan bertindak mengikut prosedur standard menangani suspek, yang berakhir dengan tembakan dilepaskan ke arah individu tersebut.
Tentera turut memaklumkan mereka mengetahui laporan mengenai seorang rakyat Palestin terbunuh di lokasi kejadian.
Seorang guru Palestin, Ahmed Atallah, berkongsi gambar kertas peperiksaan pertengahan semester Bahasa Inggeris milik Yousef, sambil memaklumkan pelajar itu dibunuh hanya beberapa jam selepas menduduki peperiksaan tersebut.
Kementerian Kesihatan Palestin Palestinian memaklumkan seorang lelaki Palestin berusia 25 tahun turut maut ditembak oleh peneroka haram Israel di bandar Deir Dibwan berhampiran Ramallah pada Rabu.
Menurut kementerian itu pada Khamis, seramai 16 rakyat Palestin dibunuh sejak awal tahun 2026, dengan mangsa termuda berusia 13 tahun dan tertua 60 tahun.
Empat rakyat Palestin dibunuh pada Selasa, termasuk dua dalam serangan oleh peneroka Israel ke atas kampung al-Mughayyir di timur Ramallah.
Kementerian itu berkata seorang pelajar sekolah berusia 14 tahun, Aws Hamdi al-Na’san, dan seorang lelaki berusia 32 tahun, Jihad Marzouq Abu Na’im, mati ditembak ketika peneroka menyerang Sekolah Lelaki al-Mughayyir.
Empat lagi individu dilaporkan cedera. Pegawai tempatan mendakwa tentera Israel turut melepaskan tembakan ketika melindungi peneroka.
Pengetua sekolah berkenaan, Bassam Abu-Assaf, berkata sekurang-kurangnya lima peneroka bersenjata menghampiri kampung al-Mughayyir, timur laut Ramallah, sekitar tengah hari ketika sebahagian pelajar berada di kawasan sekolah sebelum tembakan dilepaskan.


