SEORANG buruh ladang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Tawau, hari ini atas pertuduhan membunuh isterinya di Kalabakan, bulan lalu.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Kalba Rahim, 37, yang hanya mengangguk dan mengaku faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum.
Mengikut pertuduhan, lelaki warga Indonesia yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri itu didakwa membunuh isterinya, Salmawati Jufri, 37, di Perumahan Pekerja Ladang Felda FGV Umas 6, Kalabakan, antara jam 4 hingga 4.55 petang, 28 September lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta tidak kurang 12 sebatan jika tidak dikenakan hukuman gantung, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Nur Intan Jamrin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam, lapor Harian Metro.
Nur Intan tidak menawarkan sebarang ikat jamin terhadap tertuduh memandangkan kes berkenaan adalah jenayah bunuh dan tidak boleh diikat jamin.
Mahkamah kemudian tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 3 November depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan kimia dan laporan bedah siasat.





